Melaka United FC (MUFC) telah menafikan khabar angin yang mengaitkan perpindahan penjaga gol berpengalaman, Khairul Fahmi Che Mat ke pasukan Johor Darul Ta’zim (JDT).
Datuk Mohd Saiful Mat Sapri, Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) MUFC, berkata, berita yang tersebar luas di media sosial sejak beberapa hari lalu itu adalah tidak benar.
Sebaliknya, beliau berkata, penjaga gol yang berusia 32 tahun itu yang lebih dikenali sebagai ‘Apek’ telah menandatangani kontrak baharu selama 2 tahun sehingga tahun 2022 baru-baru ini.
Mohd Saiful turut berkata, pengesahan berkenaan diharap dapat memberikan jawapan terhadap segala spekulasi yang mengaitkan perpindahan pemain berkenaan ke beberapa pasukan sebelum ini.
“Perpindahan Apek ke JDT adalah berita palsu. Kami tidak pernah menerima sebarang surat rasmi atau dihubungi mana-mana pihak termasuk dari JDT untuk mendapatkan Apek.
“Begitu juga dengan pasukan-pasukan lain, tiada sebarang tawaran dibuat. Apek akan tetap terus bersama kami dan berita mengenai perpindahannya adalah tidak benar.
“Saya juga tidak tahu menahu tentang bekas kapten MUFC, Safiq Rahim. Kontraknya telah pun tamat, sama ada dia kembali ke JDT atau mahu terlibat dengan kelab Liga M3, itu saya tidak pasti,” katanya kepada wartawan sukan Sinar Harian semalam.
Apabila diminta mengulas mengenai persiapan MUFC bagi mengharungi Liga Malaysia (Liga-M) musim ini, Mohd Saiful menjawab, pihaknya swkarang dalam usaha mendapatkan khidmat penyerang import dari Montenegro, Stefan Nikolic.
“Pemain terbabit akan tiba ke Melaka dalam masa terdekat. Sehingga hari kini kami difahamkan, Nikolic sedang menguruskan perjalanannya ke negara ini,” katanya.
Sebelum ini kami turut menyiarkan berita tentang perpindahan Safiq Rahim kembali ke JDT setelah mypass tersiar di laman sosial. Namun hingga sekarang tiada sebarang pengesahan dari JDT mahupun JDT.
Sumber : Sinar Harian