Pemain naturalisasi pertama Malaysia, Mohamadou Sumareh, satu ketika pernah dikaitkan dengan perpindahan ke kelab Johor Darul Ta’zim (JDT). JDT akan terlebih dahulu berbinxang dengan pengurusan Pahang FA sekiranya ingin mengambil pemain tersebut.

Ketika itu, Sumareh sedang bermain bersama sebuah kelab dalam Liga 1 Thailand. Dalam masa yang sama juga pihak Pahang berkeras mahu menggantung pemain tersebut yang dikatakan telah melanggar kontrak.

Namun hari ini, lain pula jadinya dan berlawanan pula ceritanya.

FIFA kini telah mengarahkan Persatuan Bola Sepak Negeri Pahang (PBNP) membayar AS$1.2 juta (RM4.9 juta) kepada bekas pemain mereka, Mohamadou Sumareh.

Telah difahamkan, keputusan tersebut dibuat selepas Sumareh mengemukakan aduan kepada badan bola sepak dunia itu mengenai gaji yang tidak dibayar, menurut laporan daripada New Straits Times.

Pemain naturalisasi Malaysia pertama itu meninggalkan Pahang pada Ogos tahun lalu setelah mendakwa PBNP gagal membayar gajinya mengikut kontrak.

Menurut akhbar tersebut, jika mengikut kontrak, Sumareh sepatutnya menikmati kenaikan AS$5,000 (RM20,350) setahun selepas tahun kedua bersama Tok Gajah.

Bagaimanapun pemain kelahiran Gambia itu mendakwa gajinya tidak stabil setelah menyertai mereka pada 2017.

AS$1.2 juta yang diumumkan FIFA adalah jumlah kenaikan tahunan terkumpul yang tidak dibayar dengan pelanggaran kontrak bagi tahun 2020 dan 2021.

Ia jumlah terbesar yang dimenangi pemain di Liga Malaysia (Liga M).

Selepas meninggalkan Pahang di tengah kontroversi, Sumareh menyertai kelab Thailand, Police Tero FC untuk jangka masa pendek tahun lalu sebelum kembali ke Malaysia.

Juara Liga Super tujuh kali berturut-turut, Johor Darul Ta’zim (JDT) menyuarakan minat mendapatkan pemain itu sebelum ini. Namun sehingga kini tiada lagi khabar atau pengumuman rasmi dari JDT.