Beberapa hari yang lepas, pemilik Johor Darul Ta’zim (JDT), Tunku Ismail Sultan Ibrahim ada menegur dan menasihati ahli politik yang mahu bertanding merebut jawatan penting pada pemilihan Kongres FAM Ke-57 supaya tidak melakukan kerosakan terhadap bola sepak negara..
Melalui laman Instagram milik Tunku Ismail (TMJ), menerusi ruangan ‘Tanya saya soalan’, TMJ menasihatkan agar ahli politik tidak berbuat demikian bagi mengelak daripada merencatkan pembangunan bola sepak negara sekarang ini.
”Dah merosakkan negara jangan sibuk nak merosakkan bola sepak,” katanya, apabila menjawab pertanyaan berkenaan dengan ahli politik yang akan bertanding pada pemilihan Kongres FAM ke-57.
Rentetan daripada kenyataan tersebut, keluar pula kenyataan dan pengesahan daripada bekas Timbalan Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Tan Sri Annuar Musa yang mengatakan tidak akan bertanding pada pemilihan Kongres FAM Ke-57, Mac ini.
Perkembangan itu dimaklumkan sendiri oleh Menteri Wilayah Persekutuan itu.
“Tidak, saya tidak akan bertanding pada pemilihan Kongres FAM,” kata Anuar Musa ringkas.
Sebagai rekod, bekas presiden Persatuan Bola Sepak Kelantan (Kafa) itu pernah menyatakan pendirian mahu bertanding jawatan presiden sebelum ini pada Kongres FAM 2017.
Anuar Musa ketika itu berkata, keputusan terbabit dibuat bukan berkaitan merebut kerusi nombor satu itu semata-mata sebaliknya ingin mempertahan integriti dan rekod kepimpinannya sebagai timbalan presiden FAM sebelum ini.
Dalam pada itu, menurut sumber, identiti individu yang akan bertanding pada pemilihan kongres terbabit akan diketahui selewat-lewatnya pada 11 Februari ini.
Tan Sri Anuar Musa menambah, pemilihan kali ini boleh dikatakan agak kurang meriah setelah tiada nama besar termasuk ahli politik menyatakan secara terbuka mahu bertanding merebut jawatan penting dalam FAM.
“Berbanding pada pemilihan sebelum ini, kita sentiasa mendengar beberapa nama besar yang menyatakan minat bertanding merebut jawatan penting,” katanya.