Apakah benar Safiq Rahim bakal kembali ke pasukan lama beliau, Johor Darul Ta’zim (JDT)?
Ia adalah satu persoalan yang timbul di kalangan peminat bola sepak tanah air apabila bekas ketua pasukan JDT dan Harimau Malaya, Safiq Rahim itu dikaitkan kembali ke pangkuan pasukan lamanya itu.Khabar angin itu hangat diperkatakan berikutan tersebarnya gambar mengenai permohonan JDT untuk mendapatkan Safiq Rahim daripada Melaka United.
Menerusi permohonan MyPas, maklumat berkenaan bocor di laman sosial dengan status permohonannya masih di dalam proses.
Untuk rekod, pemain tengah kelahiran Kuala Selangor itu mula menyertai skuad Harimau Selatan pada 2013 selepas berhijrah dari Selangor.
Sepanjang enam musim bersama JDT hingga 2018, Safiq berjaya meraih pelbagai kejuaraan termasuk memenangi Piala AFC pada 2015.
Selain hebat bersama JDT, dia juga berjaya membantu skuad Harimau Malaya menjulang Piala AFF pada 2010 buat pertama kalinya dalam sejarah kejohanan serantau itu.
Semasa beliau bersama JDT, beliau pernah mencatat penjaring JDT sepanjang zaman sehinggalah gelaran itu direbut oleh Gonzalo Cabrera pada musim lepas.
Sehingga kini, hanya Aidil Zafuan Abdul Radzak sahaja yang masih kekal bersama JDT sejak penjenamaan baru JDT pada tahun 2013.
Musim terakhir Safiq Rahim beraksi untuk JDT adalah pada tahun 2018 sebelum berhijrah ke Melaka United pada musim 2019 selama 2 tahun.
Satu ketika sebelum ini pada akhir November yang lepas, Safiq Rahim pernah mengunjungi DYAM Tunku Mahkota Johor. Pertemuan tersebut tidak diketahui umum atas tujuan apa.
Bekas kapten JDT itu juga adalah merupakan antara pemain Malaysia yang paling banyak memenangi kejuaraan. Beliau telah memenangi lebih banyak piala di JDT daripada di tempat lain dan memainkan peranan yang cukup besar dalam sejarah kelab.
Sumber : Harian Metro