Setelah lebih sebulan bergelar pemain termahal Liga Malaysia (Liga-M), Gonzalo Cabrera kini sudah ‘dipotong’ rakan sepasukan baharunya di Johor Darul Ta’zim (JDT), Jonathan Herrera bagi takhta pemain termahal Liga M.
Selepas berdasarkan kepada semakan di laman sesawang transfermarkt.co.uk, bekas penyerang San Lorenzo itu mempunyai nilai pasaran termahal di kalangan pemain Liga M apabila Herrera dinilaikan berharga sekitar RM5.96 juta.
Nilai pasaran semasa itu tampak terus memintas Gonzalo Cabrera yang memiliki nilai RM2.93 juta. Dan apa yang lebih mengejutkan, Herrera turut mengatasi seorang lagi pemain termahal yang juga bekas pemain skuad Harimau Selatan, Diogo Luis Santo yang sebelum ini dianggarkan bernilai RM4.8 juta.
Diogo Santo kini bermain mewakili BG Pathum, sebuah kelab di Liga 1 Thailand.
Herrera, pemain berusia 29 tahun itu pernah sebelum ini mencecah nilai pasarannya yang tertinggi pada 2019 apabila memegang nilai setinggi RM7.45 juta.
Kini bukan setakat Herrera, malah pemain baharu Selangor yang juga bekas pemain Real Zaragoza, Oliver Buff turut menempatkan diri dalam senarai tangga lima teratas apabila dia berkongsi nilai yang sama dengan pemain tengah JDT, Liridon Krasniqi iaitu RM1.73 juta.
Walau bagaimanapun, tiada sebarang perubahan yang dapat disaksikan dalam kedudukan 10 pemain termahal Liga-M apabila lima tempat teratas didominasi pemain JDT iaitu Jonathan Herrera, Gonzalo Cabrera, Leandro Velazquez (RM2.7 juta), Mauricio Nascimento (RM2.3 juta) dan Liridon Krasniqi yang terikat bersama Oliver Buff.
Kedudukan keenam pemain termahal diisi oleh pemain berdarah campuran JDT, Natxo Insa dan penggempur berbisa Selangor, Ifedayo Olusegun dengan nilai RM1.6 juta.
Antara pemain lain yang memiliki nilai pasaran RM1.47 juta antaranya tiga pemain kacukan JDT iaitu La Vere Corbin Ong, Matt Davies dan Brendan Gan serta pemain import seperti Kpah Sherman, Careca, David da Silva dan Renan Alves serta calon pemain naturalisasi negara, Romel Morales.
Nilai RM1.47 juta itu turut menjadi nilai pasaran tertinggi bagi pemain tempatan, antara pemainnya adalah Baddrol Bakhtiar dan Shahrul Saad.
Senarai pemain termahal Liga M 2021
1. Jonathan Herrera (JDT) – RM5.96 juta
2. Gonzalo Cabrera (JDT) – RM2.93 juta
3. Leandro Velazquez (JDT) – RM2.7 juta
4. Mauricio (JDT) – RM2.3 juta
5. Liridon Krasniqi (JDT), Oliver Buff (Selangor) – RM1.73 juta
6. Natxo Insa (JDT), Ifedayo Olusegun (Selangor) – RM1.6 juta
7. La Vere Corbin Ong, Matt Davies, Hariss Harun (JDT), Kpah Sherman, Renan Alves (Kedah), Careca, Guilherme de Paula (Perak), David da Silva (TFC), Brendan Gan (Selangor), Romel Morales (KL), Baddrol Bakhtiar (Kedah), Shahrul Saad (Perak) – RM1.47 juta
Sumber : Berita Harian