Jangan merosakkan bola sepak negara. Begitulah nasihat pemilik Johor Darul Ta’zim (JDT), Tunku Ismail Sultan Ibrahim kepada ahli politik yang ingin bertanding merebut jawatan penting dalam pemilihan Kongres Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) Ke-57 nanti.
Di laman Instagram milik Tunku Ismail (TMJ), menerusi ruangan ‘Tanya saya soalan’, TMJ menasihatkan agar ahli politik tidak berbuat demikian bagi mengelak daripada merencatkan pembangunan bola sepak negara sekarang ini.”Dah merosakkan negara jangan sibuk nak merosakkan bola sepak,” katanya, apabila menjawab pertanyaan berkenaan dengan ahli politik yang akan bertanding pada pemilihan Kongres FAM ke-57.
Terlebih dahulu sebelum ini, terdapat desas-desus kemungkinan beberapa calon ahli politik dijangka turut memanaskan pemilihan Kongres FAM yang dijadualkan berlangsung pada 13 Mac depan.
Walaupun masih belum ada sebarang pengumuman rasmi daripada individu (ahli politik) berkenaan, ketika ini terdapat khabar angin yang mengaitkan nama tokoh tertentu untuk merebut jawatan penting di Wisma FAM.
Tiada sebarang halangan sebenarnya bagi siapa sahaja yang mahu bertanding pada pemilihan Kongres FAM termasuk ahli politik.
Namun begitu, sebelum seseorang calon itu diterima untuk bertanding, individu berkenaan perlulah ‘bersih’ dan tidak pernah didakwa di mana-mana mahkamah atas apa jua kesalahan jenayah.
Tokoh yang dicalonkan itu juga wajib bebas daripada masalah kebankrapan sekiranya berhasrat untuk merebut salah satu daripada 17 kerusi dipertandingkan nanti.
Sejak borang pencalonan dibuka pada 13 Januari lalu, hanya dua calon iaitu Datuk Hamidin Mohd Amin, Presiden FAM dan Datuk Mohd Yusoff Mahadi, timbalannya yang mengumumkan pendirian untuk mempertahankan kerusi masing-masing. Tunku Ismail turut membalas ‘saya tidak peduli tentang kisah lampau anda, sehinggalah anda menang’ ketika ditanya mengenai Selangor.
Sebaliknya beliau membalas ‘sangat kuat’ apabila ditanya tentang Kedah Darul Aman FC.
Tunku Ismail turut diminta memberi satu perkataan tentang politik semasa di Malaysia dan beliau menjawab ringkas: “Ribut.”