Pemain tengah kacukan Inggeris-Malaysia Nathaniel Shio Hong Wan akan menyertai juara Liga Super Malaysia, Johor Darul Ta’zim (JDT) dari Wolverhampton Wanderers.

Pengumuman untuk pemain berusia 20 tahun itu, yang layak mewakili Malaysia melalui ibunya kelahiran Johor, dibuat pada hari Khamis melalui laman rasmi facebook JOHOR Southern Tigers sebentar tadi.

Pengumunan itu disampaikan oleh Alistair Edwards, Pengarah Teknikal Kelab Bolasepak Johor Darul Ta’zim.

“Kelab Bolasepak Johor Darul Ta’zim (JDT) telah mencapai persetujuan untuk menandatangani pemain kacukan Malaysia, Nathaniel Shio Hong Wan dari kelab Wolverhampton Wanderers.

“Perjanjian ini tertakluk kepada kejayaan permohonan kerakyatan Malaysia dan akan bermula apabila kontrak semasa beliau tamat pada bulan Jun.” kata Alistair Edwards.

Nathaniel Shio Hong Wan, yang memulakan karier bola sepaknya di Yeovil Town, juga mempunyai pengalaman bermain di Croatia untuk kelab NK Varazdin.

Beliau beraksi sekarang ini bersama kelab Wolverhampton Wanderers bawah 23 tahun sejak musim 2019/2020 namun membuat penampilan sulongnya pada musim 2020/2021 iaitu pada 20 Julai 2020. Ketika itu beliau bermain sebagai pemain gantian melawan Manchester City B23 dimasukkan pada minit ke 79 perlawanan.

Nathaniel Shio dilahirkan pada 17 Ogos 2000 sehingga kini telah membuat 8 penampilan disamping disenaraikan dalam kesebelasan utama dalam 2 perlawanan. Kini sedang bersaing dalam kancah liga simpanan, Premier League 2. Lahir di Croydon, sebuah tempat di selatan London tetapi mempunyai pertalian da rah Malaysia menerusi ibunya yang berasal dari Tangkak, Johor. Manakala bapanya berasal dari tanah besar China.

Sebelum ini dikhabarkan Hong Wan sanggup dan berminat mewakili Malaysia sekiranya dipanggil. Beliau yang yang juga merupakan bekas kapten Yeovil Town Bawah 18 Tahun (U18) boleh memilih untuk beraksi bersama skuad kebangsaaan senior England, China ataupun Malaysia.

Hong juga menyatakan dia amat terbuka untuk mewakili mana-mana skuad kebangsaan termasuk Malaysia.