Liga Bolasepak Malaysia (MFL) telah memberi satu keputusan untuk menunda tarikh sepak mula Liga Malaysia (Liga M) bagi musim 2021 berikutan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di semua negeri kecuali Sarawak (PKP Bersyarat) sehingga awal bulan depan.

Menurut Datuk Ab Ghani Hassan, Ketua Pegawai Eksekutif MFL, berkata keputusan itu dicapai sebaik sahaja berbincang dalam Mesyuarat Khas Ahli Lembaga Pengarah MFL melalui dalam talian serta turut mengambil pandangan dan persetujuan daripada wakil-wakil pasukan dalam satu taklimat khas semalam.

Jelas beliau, keputusan untuk meminda tarikh sepak mula Liga M musim ini yang sepatutnya yang akan berlangsung bermula pada 26 Februari depan disebabkan rentetan PKP kembali bersambung sehingga 4 Februari depan.

“MFL telah bersedia menyediakan beberapa mekanisme seperti Prosedur Operasi Standard (SOP) latihan yang lebih ketat dan SOP latihan kem latihan berpusat secara kuarantin bagi memastikan Liga Malaysia musim 2021 berjalan lebih berkesan, selamat dan menghindari segala kemungkinan pandemik Covid-19.

Mengikut perancangan awal, liga akan membuka tirai pada perlawanan sumbangsih bagi merebut Piala Sultan Haji Ahmad Shah yang menemukan Johor Darul Ta’zim (JDT),  juara Liga Super musim lalu dan Kedah Darul Aman FC, di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri pada 26 Februari ini.

“MFL selepas Mesyuarat Khas Ahli Lembaga Pengarah MFL termasuk mengambil kira pandangan daripada setiap wakil pasukan telah mencapai kata putus dan sepakat untuk meminda tarikh sepak mula Liga Malaysia pada 5 Mac 2021 ini.

“Semua mengetahui bahawa status pandemik COVID-19 berada di paras yang cukup membimbangkan selain kebergantungan status PKP memainkan faktor tetapi MFL mahu bersedia dengan lebih awal.

“Selain permintaan Rakan Kongsi Liga yang mahukan persiapan sekurang-kurang tiga minggu sebelum sepak mula Liga Malaysia 2021, MFL juga mengambil faktor pusingan kelayakan Piala Dunia 2022 dan Piala Asia 2023, kejohanan Liga Juara-Juara Asia (ACL) yang melibatkan JDT serta pertandingan Piala AFC yang menyaksikan dua wakil negara, Kedah Darul Aman FC dan Terengganu FC dalam kejohanan ini menyebabkan keputusan pindaan tarikh Liga Malaysia 2021 itu dicapai secara bersama.