Nasib berbeza bakal ditempuhi oleh tiga wakil negara di pentas kejuaraan Asia apabila kedudukan balang menjelang undian Liga Juara-Juara Asia (ACL) dan Piala AFC yang akan ditentukan esok kelihatan sengit.

Sudah tentu, laluan berliku bakal dihadapi oleh Johor Darul Ta’zim (JDT) dalam penampilan ketiganya berturut-turut peringkat kumpulan di ACL musim ini apabila dijangka berhadapan wakil dari Korea Selatan dan Jepun dalam peringkat kumpulan.Walau bagaimanapun, Kedah dan Terengganu FC yang akan beraksi di Piala AFC dilihat berpeluang untuk mara lebih jauh sekurang-kurangnya ke pentas final Zon Asean.

Dilihat dari status kejohanan kedua-dua itu (AFC Cup dan ACL) sudah tentu mempunyai perbezaan yang ketara di mana cabaran adalah lebih sengit dan perit ddalam kejuaraan ACL kerana ia diwakili oleh pasukan atau kelab-kelab gergasi Asia. Ia sesuai dengan status kejuaraan elit Asia.

JDT yang dibimbing Benjamin Mora diletakkan dalam balang 3 bersama kelab Viettel FC (Vietnam), United City FC (Filipina), Kitchee FC (Hong Kong) dan Tampines Rovers FC (Singapura).

Kedudukan kelab di balang 1 dan 2 pula dimonopoli kelab dari Korea Selatan, Jepun, China dan Thailand yang akan menjadi lawan skuad Harimau Selatan nanti.

Sementara itu, balang 4 pula menyaksikan kelab dari Australia, Sydney FC mungkin juga boleh ditakdirkan untuk sekumpulan dengan JDT, atau empat lagi kelab lain yang belum diketahui di mana mereka perlu melalui peringkat kelayakan terlebih dulu.

Sekiranya rekod dua edisi lalu diambil kira, peluang JDT, juara Liga Super tujuh musim berturut-turut itu mungkin sukar terutama untuk melepasi peringkat kumpulan apabila JDT belum pernah menamatkan kedudukan di tangga pertama atau kedua untuk mara ke peringkat 16 pasukan.

Namun dua tahun beraksi dalam kejuaraan ACL sudah tentu memberi pengalaman yang berharga buat JDT untuk mengharungi saingan pada musim ini. Dua musim itu, JDT mempunyai rekodnya tersendiri apabila mencatat dua kemenangan iaitu menewaskan Kashima Antlers 1-0 di Stadium Lalrkin pada 08 Mei 2019. Manakala pada musim lepas JDt berjaya menewaskan Suwon Bluewings di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri pada 03 Mac 2020 walaupun keputusan itu dibatalkan akibat penarikan JDT pada baki aksi peringkat kumpulan.

Undian tersebut akan dijalankan pada pukul 4.30 petang dan akan dibawakan secara langsung oleh AFC melalui siaran di youtube :

Sumber : Harian Metro