Hasrat penyokong Malaysia untuk menyaksikan bintang Johor Darul Ta’zim (JDT), Safawi Rasid merangkul Anugerah Pemain Muda Terbaik Asia 2020 anjuran Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) tidak kesampaian selepas Safawi hanya berada di kedudukan kesembilan.
Anugerah yang dikenali sebagai ‘Asia’s Choice – Fan Awards: Best Young Player in 2020’ itu dimenangi oleh pemain muda Iran, Mehdi Ghayedi selepas mendapat kutipan 24.4 mata.
Mehdi Ghayedi mengetepikan rakan senegaranya, Mehdi Abdi Qara yang berada di kedudukan tangga kedua dengan mengumpul 21.37 mata.
Sementara itu, Won Du-jae, pemain Korea Selatan yang dinobatkan sebagai Pemain Paling Bernilai Kejuaraan AFC U23, di tempat ketiga setelah memperoleh 16.2 mata.
Safawi Rasid yang juga tonggak Harimau Malaya mengumpul 3.07 mata untuk berada dalam kelompok 10 terbaik daripada 20 calon asal yang disenaraikan Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) bagi merebut anugerah itu.
Anugerah itu dianjurkan oleh AFC sebagai memberi pengiktirafan kepada pemain muda Asia yang berusia 23 tahun atau lebih muda pada 31 Disember 2020 berdasarkan persembahan bersama kelab dan pasukan kebangsaan.
Mata yang diperoleh dipengaruhi oleh 60 peratus undian daripada peminat, sementara baki 40 peratus diberikan panel pakar.