Tunku Ismail Sultan Ibrahim, pemilik Kelab Bolasepak Johor Darul Ta’zim (JDT), telah membidas pemilik kelab yang hanya tahu bercakap tanpa menyumbang sesuatu kepada bola sepak negara.

Kenyataan yang pedas itu dikongsikan Tunku Ismail Sultan Ibrahim (TMJ) menerusi akaun Instagram miliknya, hari ini.

Beliau yang juga Tunku Mahkota Johor (TMJ) menegaskan individu itu berhak bercakap sekiranya mereka sudah membuktikan sumbangan atau pencapaian mereka dalam bola sepak.

“Orang yang ada jawatan dan baru jadi pemilik ini semua pandai bercakap. Tetapi seorang pun tak beri apa-apa sumbangan kepada bola sepak negara atau faham industri bola sepak.

“Semua cakap macam orang sudah banyak pencapaian dan kejayaan. Mula bercakap apabila anda ada beri sumbangan atau ada pencapaian dalam dunia bola sepak,” katanya.

TMJ yang terkenal dengan kritikan pedas terutama apabila membabitkan bola sepak, namun tidak dapat dipastikan kenyataan ‘panas’ TMJ itu ditujukan kepada siapa secara khusus.

Sebagai rekod, semua pasukan Liga Malaysia (Liga M) memulakan penswastaan musim ini dengan setiap kelab mempunyai pemilik sendiri.

Sumber : Berita Harian