Datuk Mohd Yusoff Mahadi, Timbalan Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), telah berkata, aksi pembuka tirai saingan Liga Malaysia (Liga-M) 2021 yang telah dijadualkan pada 26 Februari depan berkemungkinan besar tidak dapat diteruskan walaupun Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bersambung hanya untuk dua minggu.
Oleh itu, peminat bola sepak tanah air mungkin terpaksa menunggu lebih lama lagi sekiranya pelaksanaan PKP yang dijadualkan tamat pada 26 Januari ini dilanjutkan.
Jelas beliau lagi, lanjutan PKP akan mengakibatkan setiap pasukan hanya mempunyai masa kurang daripada tiga minggu sebelum menghadapi perlawanan pertama liga. Apa yang lebih membimbangkan ialah pasukan turut tidak dapat menjalani latihan sepanjang tempoh PKP ini.
“Di atas kertas jika PKP disambung sekurang-kurangnya dua minggu, ia bermakna PKP akan tamat pada 9 Februari, ini bermakna pasukan Liga Super dan Liga Premier cuma ada dua minggu melakukan persiapan untuk hadapi saingan liga nanti.
“Sekurang-kurangnya setiap pasukan perlu diberi sebulan untuk mempersiapkan pasukan, sebab kita faham sewaktu PKP pasukan tidak boleh mengadakan sesi latihan,” kata Datuk Mohd Yusoff Mahadi kepada Bernama.
Datuk Mohd Yusoff Mahadi juga merupakan seorang Ahli Lembaga Pengarah Liga Bola Sepak Malaysia (MFL), yang mengurus perjalanan dan pelaksanaan liga bola sepak negara.
Musim lepas telah menyaksikan saingan Liga-M bermula pada akhir Februari terpaksa ditangguhkan hingga ke penghujung Ogos susulan larangan kerajaan dalam usaha membendung penularan pandemik Covid-19.
Mohd Yusoff juga turut berkata, pihak sekretariat MFL dalam proses menyiapkan pelan strategik termasuk melihat pelbagai opsyen untuk memastikan saingan Liga-M 2021 tetap dapat diteruskan seperti yang dirancang.
Beliau juga difahamkan sekretariat MFL mempunyai perancangan tertentu sekiranya PKP bersambung hingga memakan masa empat minggu.
“Mereka (sekretariat MFL) melihat pelbagai faktor dan merangka sesuatu mengikut kesesuaian semasa agar perjalanan liga akan boleh diteruskan,” katanya.
Sekiranya PKP tidak bersambung, ada kemungkinan liga diteruskan seperti yang dijadualkan.
”Sekiranya PKP tidak disambung selepas 26 Januari nanti, pasukan masih ada tempoh sebulan lagi untuk melakukan persediaan bagi perlawanan pertama liga musim ini. Apapun kita perlu menunggu keputusan rasmi dari kerajaan,” katanya.
Perlawanan pembukaan saingan Liga-M 2021 akan menyaksikan pertembungan di antara juara bertahan, juara Liga Super 2020, Johor Darul Ta’zim (JDT) dan Kedah dalam aksi Piala Sumbangsih merebut Piala Sultan Ahmad Shah pada 26 Februari depan.
Pada hari Isnin lepas, Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan pelaksanaan PKP di enam negeri iaitu Pulau Pinang, Selangor, Wilayah Persekutuan (Kuala Lumpur, Putrajaya serta Labuan), Melaka, Johor dan Sabah untuk tempoh 14 hari bermula 13 hingg 26 Jan.
Enam lagi negeri iaitu Pahang, Perak, Negeri Sembilan, Kedah, Terengganu serta Kelantan – dikenakan PKP Bersyarat (PKPB) manakala PKP Pemulihan (PKPP) dilaksanakan di Perlis dan Sarawak, untuk tempoh sama.
Sumber : Sinar Harian