‘JDT Memang Kelas Dunia’, begitulah ungkpan dan tajuk yang tersiar di akhbar Utusan Digital hari ini. Pengakuan wartawan buletin itu sememangnya tepat berdasarkan apa perkembangan yang dilakukan oleh kelab Johor Darul Ta’zim (JDT).
Satu persatu fasiliti serta kemudahan yang dibina yang tidak terjangkau oleh pasukan lain (sekurang-kurangnya untuk dalam masa terdekat ini).
Ia boleh diibaratkan, pasukan lain bergerak selangkah, JDT dah bergerak 10 langkah ke hadapan.
Berikut adalah rumusan apa yang tersiar di dada akhbar tersebut.
Kelab Bola Sepak Johor Darul Ta’zim (JDT) terus menerus berada dalam kelasnya yang tersendiri apabila pada hari ini telah melancarkan Pusat Perubatan dan Kecergasan di Pusat Latihan Seri Gelam.
Pelancaran secara maya menerusi siaran video oleh Tunku Ismail Sultan Ibrahim, pemilik JDT, turut memperkenalkan kemudahan dan kelengkapan di pusat berkenaan. Ia merupkan yang pertama di Asia Tenggara. Pegawai perubatan dan pakar fisioterapi juga dilantik sepenuh masa.
Kenunculan pusat perubatan berkenaan membuktikan bahawa betapa JDT sentiasa ingin meneruskan usaha untuk muncul peneraju utama dalam bidang bola sepak di rantau Asia Tenggara terutama dari aspek infrastruktur, kejayaan dalam padang, inovasi, jenama dan pembangunan.
Meskipun dilengkapi dengan pelbagai kemudahan dan fasiliti terbaik, penambahan infrastruktur terbaharu yang terdapat di JDT itu sekali gus menyaksikan peralatan baharu dan kepakaran untuk memastikan setiap pemain skuad Harimau Selatan berada pada tahap yang optimum.
Tunku Ismail turut berkata, kemudahan dan fasiliti terbaik menjadi keutamaan JDT kerana ia akan memberi kesan dalam jangka masa panjang terutama untuk proses pemulihan pemain dan ia penting agar pemain sentiasa berada pada tahap permainan yang terbaik.
“Kami ingin menyediakan kemudahan dan fasiliti terbaik untuk pemain kami. Ini termasuk fasiliti dan juga peralatan rehabilitasi serta pemulihan agar setiap pemain dapat mempamerkan prestasi yang terbaik.
“JDT adalah sebuah kelab yang bercita-cita untuk sentiasa meletakkan penanda aras dan meningkatkan standard… bukan sahaja dalam negara sahaja malahan juga luar negara. Kemudahan fasiliti dan kejayaan kami akan terus membina profil JDT dan membawa manfaat untuk masa depan,” kata Tunku Ismail.
Pusat Perubatan dan Kecergasan itu akan dilengkapi dengan ‘juice bar’ untuk minuman dan makanan sihat, dua mesin baharu ‘Infrared Sauna’, ‘Functional Trainers’, ‘Smith Machines’ dan peralatan medikal seperti mesin ‘Echocardiogram’ dan alatan untuk terapi asid Hyaluronic dan ‘platelet-rich plasma’.
Hab ini turut mempunyai ‘indoor running surface’ yang diperbuat daripada ‘high-density polyethylene’ dan diperkukuh dengan getah untuk mengurangkan impak kepada sendi.
Peralatan ini adalah tambahan kepada mesin terapi oksigen dan hidrogen serta pelbagai lagi peralatan gimnasium dan medikal yang telah pun dibeli sebelum ini.
Sumber : Utusan Malaysia