Natxo Insa, pemain tengah kacukan negara, diberitakan menandatangani kontrak lanjutan bersama Johor Darul Ta’zim (JDT), juara Liga Super musim 2020 dan tujuh tahun berturut-turut.

Berita tersebut dikongsikan bersama oleh wartawan dari The Star, T. Avineshwaran apabila beliau menciap JDT memberikan kontrak lanjutan dua tahun lagi kepada Natxo.

Natxo Insa, 34 tahun, mula menyertai skuad Harimau Selatan pada musim 2017 dan beliau telah banyak membantu JDT memenangi beberapa kejuaraan domestik seperti Liga Super dan juga Piala Malaysia.

Kiko Insa, abang beliau yang juga pemain JDT, pernah membuat penampilan bersama skuad Harimau Malaya. Natxo sempat bersama pasukan Negara hanya dalam satu perlawanan sahaja iaitu dalam perlawanan persahabatan menentang Mongolia pada tahun 2018.

Natxo jarang diturunkan dalam kesebelasan utama JDT  kerana menghadapi persaingan yang hebat di bahagian tengah. Namun begitu, JDT masih percaya dengan kemampuan yang dimiliki oleh bekas pemain Levante, Liga Sepanyol ini untuk membantu pasukan.

Dalam sesebuah pasukan yang kuat, mereka memerlukan barisan pemain yang benar-benar berkualiti tidak mengira sama ada mereka berada dalam kesebelasan utama atau tidak. Mereka diperlukan sama ada untuk membimbing atau pun menjadi ‘sparing’ yang kuat. Tidak guna sekiranya skuad itu hanya dibarisi oleh 11 pemain yang benar-benar berkualiti dan kuat.

Benjamin Mora masih lagi diberi kepercayaan untuk membimbing skuad JDT dalam mempertahankan kejuaraan Liga Super dan Piala Malaysia. Beliau sudah tentu benar-benar ‘masak’ dan tahu kemampuan setiap barisan pemain JDT dan ketika mana seseorang pemain itu diperlukan untuk diturunkan dalam perlawanan tertentu.

Terkini : JDT diberitakan akan memberi pinjam dua pemain mereka iaitu Syahiran Abumanyu dan Liridon Krasniqi kepada sebuah kelab di Liga Australia, Newcastle Jets. Selain itu juga, seorang pemain import baharu akan tiba ke Johor Bahru tidak lama lagi. Beliau berasal dari Argentina iaitu Jonathan Herrera.