Bangunan berbentuk jata kelab bola sepak Johor Darul Ta’zim (JDT) akan bakal menjadi mercu tanda yang baharu bagi skuad Harimau Selatan yang akan dijadikan ibu pejabat pasukan itu.

Dilihat reka bentuk bangunan itu dianggap unik kerana jarang kelab bola sepak dunia mengabadikan jata atau logo kelab sebagai corak utama.Malah, dalam bangunan itu juga akan dibina padang rumput tiruan tertutup dan sekali gus bakal melengkapkan rekaan moden bangunan ibu pejabat JDT itu.

Melalui kenyataan di laman Facebook Johor Southern Tigers (JST), pusat latihan berkenaan juga turut dilengkapi dengan lapan padang di sekeliling bangunan utama termasuk sebuah stadium mini.

“Pusat Latihan JDT baharu yang bakal dibangunkan bersebelahan dengan Stadium Sultan Ibrahim di Iskandar Puteri akan memperlihatkan sebuah bangunan dua tingkat yang berbentuk jata Kelab Bolasepak Johor Darul Ta’zim yang dikelilingi dengan beberapa padang bola sepak ‘outdoor’.

“Bangunan itu akan menjadi ibu pejabat pusat latihan dan turut dilengkapi kemudahan fasiliti seperti gimnasium, ruang pejabat, auditorium, pusat pemulihan, kolam renang, kafeteria, ruang makan dan padang rumput tiruan ‘indoor’,” disebut dalam kenyataan itu..

Sebaik sahaja kemudahan itu siap nanti, semua pasukan JDT dari peringkat junior hingga senior akan ditempatkan dan berpusat di situ.

“Pusat Latihan JDT baharu ini yang akan menempatkan pasukan senior dan junior JDT, turut mempunyai stadium mini, asrama akademi belia, dua padang sintetik ‘outdoor’ dan beberapa padang bola sepak,” katanya.

Seperti dalam pelan, antara yang akan disediakan adalah :

  • Padang bola sepak ‘indoor’ bersaiz penuh
  • Ibu pejabat
  • Gimnasium
  • Kolam Renang
  • Dewan Makan dan Kafeteria
  • Pusat Perubatan
  • Auditorium

Terbinanya fasiliti terkini JDT itu, akan lebih menjarakkan kemudahan-kemudahan yang terdapat pada setiap pasukan lain dalam Liga Malaysia nanti. Dikala pasukan lain terkial-kial memantapkan pasukan dari pelbagai segi, JDT sudahpun hampir lengkap dari segi fasiliti yang dianggap antara yang termoden di rantau Asia Tenggara jika tidak Asia.

JDT sudah boleh mengorak langkah memantapkan lagi pemain dalam skuad sama ada dikalangan pemain tempatan mahupun import. Tumpuan sepenuhnya kepada memikirkan dan merancang mengambil pemain import terbaik tanpa memikirkan lagi kesediaan dari segi infrastruktur lagi.

Sumber dan Foto : Johor Southern Tigers