Nasib pasukan Johor Darul Ta’zim (JDT) sama ada boleh kekal beraksi dalam saingan Liga Juara-Juara Asia (ACL) musim ini atau tidak, akan ditentukan dan diketahui keputusannya pada hari ini. Badan  Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) dijangka akan mengeluarkan kenyataan mengenai status JDT tersebut pada hari ini, Jumaat.

Berita tersebut diperoleh daripada Arena Metro yang telah menghubungi Datuk Windsor Paul John, Setiausaha Agung AFC, bagi mendapatkan pengesahan berkenaan JDT itu. Datuk Winsor sendiri mengakui masa depan skuad Harimau Selatan akan dimaklumkan pada hari ini.

“Jumaat keputusan mengenai JDT akan dikeluarkan.” katanya secara ringkas semalam.

JDT telah dilaporkan sebelum ini, berkemungkinan akan menanggung akibat dan berisiko digantung selama dua musim daripada terlibat dalam saingan kelab elit Asia itu.

Semua ini adalah susulan tindakan juara Liga Super tujuh musim berturut-turut itu gagal menghabiskan baki saingan peringkat kumpulan ACL di Doha. JDT ketika itu tidak mendapat kebenaran daripada Majlis Keselamatan Negara (MKN) untuk keluar negara pada 11 November lalu.

Berpandukan kepada undang-undang khas pertandingan AFC ketika pandemic Covid-19, kegagalan pasukan hadir ke venue perlawanan susulan larangan keluar negara akibat pandemic itu menyaksikan pasukan itu dianggap telah menarik diri.

Menurut Peraturan kejohanan AFC Perkara 6.2, JDT bakal berdepan dengan denda sebanyak AS$50,000 (RM207,000) selain dari penggantungan dua tahun dalam saingan ACL  yang dikelolakan badan induk bola sepak Asia itu (AFC).

Dalam pada itu, situasi yang sama juga pernah menimpa Al-Wahda, kelab Emiriah Arab Bersatu (UAE), setelah dianggap menarik diri apabila gagal tiba ke Doha untuk baki aksi Kumpulan A, September lalu.

Jika bersandarkan kepada kes Al-Wahda yang berdepan situasi sama dengan JDT apabila mereka tidak boleh hadir atau tiba ke venue perlawanan, JDT mungkin terlepas dari sebarang hukuman.

Sebagai rekod, JDT telah pun beraksi sebanyak dua kali dalam saingan ACL 2020 dalam Kumpulan G bersama-sama pasukan Vissel Kobe (Jepun), Suwon Samsung Bluewings (Korea) dan Guangzhou Evergrande (China).

JDT telah Berjaya mengutip 3 mata hasil daripada satu kemenangan dan satu kekalahan. JDT tewas 0-5 dengan pasukan Vissel Kobe dalam perlawanan pertama di tempat lawan dan menang pula dalam perlawanan kedua menentang Suwon Bluewings 2-1 di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri.

Namun kedua-dua keputusan perlawanan tersebut ditarik balik setelah JDT dianggap menarik diri dalam kejohanan tersebut. JDT hanya perlu beraksi sebanyak empat baki perlawanan lagi di Doha.

Sumber : Harian Metro, 15.01.2020