Johor Darul Ta’zim, juara bertahan Liga Super, meneruskan langkah memperkuatkan pasukan mereka sebagai persiapan Liga Malaysia 2021 (Liga-M).

Menurut laporan berita yang diterbitkan oleh BERNAMA, JDT dilaporkan akan menandatangani seorang penyerang Argentina, Jonathan Herrera dari Kelab Deportivo Riestra yang bersaing dalam Premira B Nacional.

Primera B Nacional merupakan divisyen dua pertandingan Liga Bola Sepak Argentina.

Menurut laporan berita daripada Argentina (Instagram wartawan sukan TYC Cesar Luis Merlo) yang mendedahkan, agen Herrera telah bersetuju dengan perjanjian secara lisan, bersama skuad Southern Tigers mengenai perkara tersebut.

Menurut laporan itu, pemain bahagian serangan Argentina berusia 29 tahun itu, dijangka akan terbang ke Malaysia pada Sabtu ini dan menjalani ujian kesihatan sebelum menandatangani kontrak tiga tahun bersama JDT.

Sebelum ini pemilik JDT Tunku Ismail Sultan Ibrahim, Tunku Mahkota Johor mendedahkan yang kelab itu telah pun menandatangani penyerang Brazil Camilo Da Silva Sanvezzo dari kelab Liga Mexico, Tijuana dan juga pemain tengah kebangsaan Muhammad Daniel Amier Norhisham daripada pasukan Felda United.

Sementara itu terdapat laporan dari Australia mendakwa yang JDT telah bersetuju untuk meminjamkan dua pemain mereka iaitu pemain naturalisasi Malaysia Liridon Krasniqi dan juga pemain bakat muda Indonesia Syahiran Abimanyu, kepada pasukan Liga Australia, Newcastle Jets.

Bagaimanapun wakil JDT ketika dihubungi  oleh Bernama hari ini, enggan mengulas kedua-dua laporan tersebut, namun menyatakan yang kelab itu akan membuat pengumuman dalam Facebook Johor Southern Tigers.

Berita khabar angin kedatangan Jonathan Herrera ke JDT sebenarnya telah tersebar beberapa minggu yang lepas namun sekarang baru timbul berita yang hampir-hampir sah itu. Juga telah tersiar skill pemain tersebut di dalam youtube.

Sumber : Bernama