Kesemua 24 pasukan Liga Malaysia (Liga M) telah diarahkan oleh Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) untuk tidak menjalani latihan pra-musim 2021. Ia bagi mematuhi arahan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bersasar sehingga 26 Januari ini.

Peringatan itu disampaikan oleh Presiden FAM, Datuk Hamidin Mohd Amin kepada semua pasukan Liga M termasuklah juga saingan liga bawahan seperti pasukan-pasukan dari Liga M3, Piala Presiden dan Piala Belia.

“Kalau kita lihat perkara ini (latihan pra-musim), kita tak ada kejohanan, belum lagi. Dijangka pada 26 Februari iaitu aksi Piala Sumbangsih membabitkan Johor Darul Ta,zim (JDT) dan Kedah, kita punya Liga super, Liga Perdana, Piala Presiden dan Piala Belia bermula selepas itu.

“Tetapi kita ikut prosedur yang ditetapkan oleh pihak kerajaan semalam mengenai proses ini dan kita pun tak ada pertandingan, hanya latihan. Tapi mereka (pasukan) perlu patuh untuk tidak melakukan latihan di seluruh negara, seperti yang dibenarkan mengikut SOP (Prosedur Operasi Standard).” katanya Datuk Hamidin.

Datuk Hamidin mengulas perkara tersebut pada sidang media Mesyuarat Jawatankuasa Eksekutif Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) kali ke-12 bagi sesi 2017-2021 yang berlangsung di Wisma FAM di sini semalam.

Datuk Hamidin yang juga Presiden Liga Bolasepak Malaysia (MFL) berkata, pihaknya sudah menyediakan beberapa ‘pelan kecemasan’ sekiranya pandemic Covid-19 terus meningkat dan PKP dilanjutkan.

“Berdasarkan pengalaman sepanjang tahun lalu dalam menguruskan masalah penjadualan Liga M berikutan pandemik ini, tidak mustahil kempen liga terpaksa dilewatkan ke bulan Mac.

Namun kesemuanya bergantung kepada perkembangan serta situasi semasa dan juga nasihat daripada Majlis Keselamatan Negara (MKN), Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan Kementerian Belia dan Sukan (KBS).

Semalam, Kerajaan Malaysia telah mengumumkan, enam negeri iaitu Pulau Pinang, Johor, Selangor, Wilayah Persekutuan (Kuala Lumpur, Putrajaya), Melaka dan Sabah dikenakan PKP bermula hari ini hingga 26 Januari.

Negeri yang dikenakan PKPB pula adalah Pahang, Perak, Negeri Sembilan, Kedah Terengganu dan Kelantan.

Datuk kHamidin turut menambah, terdapat kemungkinan juga Liga M akan berlangsung dengan format sama seperti tahun lalu sekiranya keadaannya sama berterusan.