Darren Lok, penyerang berdarah kacukan negara, berazam ingin kembali bersama dengan skuad Harimau Malaya yang dijangka mengharungi jadual padat tahun ini. Beliau telah lebih tiga tahun dipinggirkan ekoran prestasi merudum.

Begitupun, Darren mengakui dirinya perlu terlebih dahulu mempamerkan aksi konsisten dan cemerlang bersama pasukan baharu yang diwakilinya, Petaling Jaya City FC (PJ City) dalam saingan Liga Malaysia (Liga M) musim ini.

Penyerang kelahiran England itu berkata, beraksi bersama skuad Harimau Malaya sudah tentu menjadi impian setiap pemain terutama apabila mendapat peluang untuk beraksi dalam saingan antarabangsa yang lebih kompetitif.

“Misi setiap pemain Malaysia sememangnya adalah untuk mewakili skuad kebangsaan dalam kejohanan antarabangsa dan saya akui agak rindu untuk kembali menyarung jersi Harimau Malaya selepas kali terakhir mendapat panggilan pada tahun 2018.

“Namun begitu, saya sedar pemain yang ada ketika ini sangat berkualiti dan mana-mana pemain yang mahu mendapat panggilan secara merit, perlu mempamerkan aksi konsisten dalam kancah Liga M.

“Mungkin musim ini peluang saya untuk me­nyerlah lebih cerah kerana bersama dengan PJ City yang mana saya pasti dapat minit permainan seperti yang diharapkan berbanding ketika mewakili Terengganu FC (TFC) musim lepas,” katanya.

Darren meraih kap pertamanya dalam pentas antarabangsa bersama skuad negara pada tahun 2016 dan berjaya disenaraikan dalam skuad akhir Piala AFF Suzuki tahun tersebut.

Pemain yang beraksi di posisi penyerang itu sebelum ini mencipta nama bersama pasukan Johor Darul Ta’zim (JDT) pada musim 2016 hingga 2019 sebelum berpundah ke TFC pada tahun lalu.