Kerajaan telah mengambil keputusan dan memutuskan untuk melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) untuk tempoh 14 hari bermula jam 12.01 tengah malam, 13 Januari 2021 hingga 26 Januari 2021.

Arahan PKP tersebut melibatkan enam negeri iaitu Pulau Pinang, Selangor, Wilayah Persekutuan (Kuala Lumpur, Putrajaya, Labuan), Melaka, Johor dan Sabah.

PKP Bersyarat (PKPB) pula dilaksanakan ke atas enam buah negeri iaitu Pahang, Perak, Negeri Sembilan, Kedah, Terengganu dan Kelantan.

Manakala PKP Pemulihan (PKPP) akan dilaksanakan bagi negeri Perlis dan Sarawak dan akan diteruskan sepanjang tempoh tersebut.

Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, negeri-negeri yang dikenakan PKP merupakan negeri yang berisiko tinggi melalui penilaian risiko oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

Beliau menambah, tahap keupayaan perkhidmatan kesihatan di negeri terbabit hampir mencapai kapasiti maksimum.

“KKM akan membuat penilaian risiko secara berterusan bagi memutuskan sama ada pelaksanaan PKP ini akan ditamatkan atau diteruskan sebelum tempoh dua minggu berkenaan tamat,” katanya melalui Perutusan Khas Perdana Menteri yang disiarkan secara langsung di semua stesen televisyen sebentar tadi sekitar pukul 6.00 petang.

Beliau turut menjelaskan, keputusan itu dibuat berdasarkan penilaian risiko oleh KKM, Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan pelbagai kementerian, agensi serta nasihat pakar-pakar kesihatan awam di dalam negara.

“Kerajaan bersetuju dengan pandangan bahawa satu tindakan yang tegas wajib diambil untuk memutuskan rantaian jangkitan penularan virus Covid-19,” ujarnya.

Muhyiddin turut berkata, dalam situasi menangani pandemik Covid-19 ini, amat penting bagi mana-mana negara untuk mengelakkan insiden peningkatan kes yang mendadak dalam tempoh masa yang singkat.

“Peningkatan jumlah pesakit secara mendadak akan melumpuhkan kapasiti sistem kesihatan yang sedia ada dalam sekelip mata. Ia tidak lagi mampu untuk menampung sejumlah pesakit yang memerlukan rawatan dan kes-kes kematian akan juga terus meningkat.

“Tidak mudah untuk saya mengatakan semua ini tetapi inilah realiti yang berlaku sekarang dengan berbagai kemungkinan yang terpaksa kita hadapi sekiranya dibiarkan ianya berlarutan tanpa sebarang campur tangan atau intervensi kesihatan awam yang lebih ketat,” jelasnya lagi.

Artikel Penuh : Sinar Harian