Baru-baru ini hangat diperkatakan di media sosial berkaitan Mohamadou Sumareh, Liridon Krasniqi dan Kedah, Johor Darul Ta’zim (JDT). Ia berkisar kepada cerita pinjaman kedua-dua pemain tersebut.

Pasukan Kedah Darul Aman FC (KDA FC) telah menafikan spekulasi yang hangat bermain di media sosial ketika ini bahawa pasukan itu mahu mendapatkan khidmat pemain naturalisasi, Sumareh dan Liridon Krasniqi secara pinjaman dari JDT.

Khamal Idris Ali, Ketua Pegawai Eksekutif KDA FC, menganggap ia hanya satu spekulasi biasa yang dicetuskan oleh pihak tertentu di media sosial.

“Media sosial itu biasa, adakah berita di media sosial itu satu berita yang pasti ? Setakat ini kelab kita tiada info atau sebarang perjumpaan. Itu hanya spekulasi.

“Tiada perbincangan dengan Sumareh dan Liridon. Buat tak tahu sahaja, nama pun media sosial. Dia boleh baling batu dan sembunyi tangan. Tetapi orang boleh percaya, itu yang bahayanya,” kata Khamal.

Spekulasi mengenai dua pemain berstatus naturalisasi itu akan dipinjamkan JDT ke Kedah untuk saingan musim depan mula hangat diperkatakan. Berita itu tersebar di media sosial sejak semalam.

Liridon sememangnya bukanlah pemain yang asing bagi bola sepak Kedah. Dia pernah beraksi bersama Helang Merah sejak 2015 hingga 2018 dan sempat mencipta beberapa kejayaan bersama skuad itu.

Sumareh pula akan kembali ke Malaysia selepas kontraknya tidak disambung oleh kelab Thailand, Police Tero FC. Terdapat juga spekulasi bahawa Sumareh akan menyertai JDT.

Disamping itu, Khamal mengakui bahawa pihaknya sedang berusaha memantapkan lagi pasukan bagi menghadapi saingan Liga Malaysia dan Piala AFC musim depan.

“Pemain baharu itu biasa sebab mana-mana pasukan pun ada. Menteri Besar akan umumkan nanti. Kejutan ini hanya akan ada pemain baharu sahaja, yang lainny saya ingat tiada isu apa-apa.

“Setiap tahun persiapan pasukan berbeza, kalau kata kita ambil Sergio Aguero itu barulah satu kejutan. Kita persiapkan pasukan supaya lebih mantap dari tahun lalu, itu saja yang kita buat,” kata Khamal.

Kedah akan memulakan kempen Liga Super dengan bertemu JDT dalam merebut Piala Sumbangsih di Stdium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri. 

JDT pula akan mempertahan piala tersebut yang dipegang sejak tahun 2018, tiga tahun berturut-turut. 

Kedah sebelum ini pernah berjaya merebut Piala Sumbangsih pada tahun 2017. Mampukah Kedah merebut kembali ?

Sebagai rekod, JDT telah beraksi merebut Piala Sumbangsih sejak 2015 dan musim ini adalah kali ketujuh dan di laman sendiri.

Sumber : Berita Harian