Musim 2020 adalah nyata tahun bertuah bagi Safawi Rasid, bintang bola sepak negara, apabila beliau tersenarai antara calon untuk anugerah Pemain Muda Terbaik Asia 2020 yang dikendalikan oleh Konfederasi Bolasepak Asia (AFC).

Safawi yang bakal mencecah usia 24 tahun pada 05 Mac depan sebelum ini telah meraih pelbagai pengiktirafan sama ada dalam kategori berpasukan mahupun individu..

Walaubagaimanapun pencalonan sebagai Pemain Muda Terbaik Asia itu dianggap cukup berprestij apabila ia merupakan acara kemuncak bagi mengiktiraf pemain benua Asia selepas setahun beraksi.

Melalui pengumuman yang dikeluarkan oleh AFC, seramai 19 pemain telah dicalonkan. Antara nama besar yang akan memberi saingan kepada Safawi adalah pemain Real Madrid berasal dari Jepun, Takefusa Kubo..

Selain itu juga, penyerang muda Korea Selatan, Lee Kang-in yang kini beraksi dengan Valencia di Sepanyol dan juga Takehiro Tomiyasu, pemain pertahanan Bologna,.

Jika dilihat dari senarai pemain yang dicalonkan, mungkin peluang Safawi memenanginya agak sukar. Namun kejayaan tersenarai dalam anugerah tertinggi di Asia itu sudah cukup untuk dipuji dan dibanggakan.

Sebagai rekod, sepanjang musim 2020, Safawi telah membantu Johor Darul Ta’zim (JDT) memenangi gelaran Liga Super untuk kali ketujuh berturut-turut selain berpeluang beraksi bersama kelab Portugal, Portimonense SC.

Safawi juga baru-baru ini turut dinobatkan sebagai Pemain Tengah Terbaik Anugerah Bolasepak Kebangsaan (ABK) 2020 Virtual. Selain itu beliau turut dicalonkan dalam 24 pemain untuk merebut Anugerah Pemain Terbaik Asia anjuran Fox Sports Asia bagi musim lalu.

Dalam Anugerah tersebut, pemain sayap dengan kaki kiri berbisa itu bakal berentap dengan tonggak Tottenham Hotspur dari Korea Selatan, Son Heung Min yang dilabel sebagai pilihan utama untuk menggondol gelaran itu.

Pada September lalu juga, Safawi telah mengharumkan nama Malaysia apabila meraih Anugerah Gol Terbaik Sedekad Liga Juara-Juara Asia (ACL) anjuran AFC selepas menghasilkan jaringan cantik menerusi sepakan lencong ketika menentang kelab China, Shandong Luneng dalam aksi ACL 2019.

Peminat dan penyokong boleh membuat undian bagi memilih Pemain Muda Terbaik Asia tahun 2020 di sini.