Datuk Windsor Paul John, Setiausaha Agung Konfederasi Bolasepak Asia (AFC), memberitahu, pihak AFC dijangka akan mengumumkan status penyertaan semua pasukan pada pertengahan bulan ini.
Justeru itu, Kelab Bolasepak Johor Darul Ta’zim (JDT) dan peminat setia Harimau Selatan perlu menunggu untuk mengetahui status penyertaan mereka dalam saingan Liga Juara-Juara Asia (ACL) musim ini sama ada dibenarkan ataupun sebaliknya.
Datuk Windsor Paul John berkata, ketika ini pihak AFC sedang membuat penelitian berkaitan penyertaan semua pasukan termasuklah JDT dalam saingan tertinggi peringkat Asia itu.
“Kami masih meneliti untuk mengesahkan semua penyertaan kelab bagi ACL 2021 termasuk kelab dari Malaysia. Keputusan itu akan diumumkan dalam pertengahan bulan Januari,” katanya kepada wartawan Berita Harian, semalam.
Sebelum ini dilaporkan status penyertaan JDT di ACL secara tiba-tiba menjadi tanda tanya selepas timbulnya ada dakwaan bahawa AFC menolak pendaftaran mereka untuk ke saingan itu.
Tindakan itu didakwa diambil berpunca daripada kegagalan skuad JDT menghabiskan baki aksi peringkat kumpulan di Doha, musim lalu akibat daripada pandemik COVID-19.
Tindakan JDT menarik diri itu terpaksa dilakukan oleh JDT selepas Kerajaan Malaysia tidak membenarkan pergerakan keluar masuk di pintu sempadan negara sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).
Dakwaan penolakan pendaftaran JDT oleh AFC bagaimanapun dipertikai beberapa pihak kerana ia dianggap tidak adil buat Harimau Selatan. Selain itu ada juga yang menyifatkan juara Liga Super tujuh kali berturut-turut itu sebagai mangsa keadaan.
Mengikut merit, JDT layak ke peringkat kumpulan ACL 2021 setelah menjuarai Liga Super musim 2020. Sekiranya JDT dibenarkan, ACL 2021 merupakan tahun ketiga berturut-turut penyertaan JDT dalam saingan kelab tertinggi Asia.
16 pasukan telah menempah tiket ke peringkat kumpulan. JDT adalah merupakan wakil tunggal dari Malaysia. Baki 4 lagi pasukan akan ditentukan di peringkat play-off.
Sumber : Berita Harian Sukan