Sekiranya ada anugerah barisan impian, pemain-pemai dari skuad Johor Darul Ta’zim (JDT) nyata berada pada kelas tersendiri apabila mendominasi senarai kesebelasan utama pemain termahal Liga Malaysia (Liga M) musim ini kerana ia akan membabitkan lapan pemain.Gonzalo Cabrera muncul sebagai bintang paling mahal dengan nilai 600,000 euro (€) atau RM3 juta.
Gonzalo Cabrera, 31, yang difahamkan layak menjadi pemain naturalisasi negara pada tahun depan mendahului senarai pemain impian tersebut. Turut mengiringi Cabrera adalah tiga lagi rakan sepasukan dari JDT pemain posisi tengah iaitu Leandro Velazquez, Natxo Insa dan Liridon Krasniqi bagi menggerakkan enjin pasukan.
Velazquez yang menjaringkan gol kemenangan menentang FC Istiklol 1-0 untuk JDT ketika JDT melakar sejarah menjuarai Piala AFC adalah pemain kedua termahal dalam senarai terbabit dengan tanda harga €550,000 (RM2.7 juta).
Sementara itu, Natxo Insa dan Liridon Krasniqi yang juga tonggak naturalisasi Harimau Malaya turut melengkapkan jentera tengah dengan masing-masing bernilai €325,000 (RM1.6 juta) dan €350,000 (RM1.7 juta).
Farizal Marlias Turut Tersenarai
Penjaga gol berpengalaman JDT, Farizal Marlias turut layak mengawal pintu gol selepas merekodkan nilai paling tinggi berbanding dengan beberapa pesaing lain di posisi itu dengan €275,000 (RM1.3 juta).
Tiga tonggak pertahanan JDT melengkapkan penguasaan JDT adalah Corbin Ong, Mauricio Nascimento dan Matthew Davies turut berada dalam senarai terbabit dengan satu lagi tempat diisi pemain pasukan Pahang dari Perancis, Herold Goulon.

Goulon, 1.95 sentimeter, antara pertahanan paling tinggi dalam saingan Liga M musim lalu turut mencatatkan tanda harga sekitar €300,000 (RM1.5 juta) bersama Corbin dan Davies sementara Mauricio paling mahal €475,000 (RM2.3 juta).
Daripada empat posisi yang mengamalkan formasi 4-4-2 itu, hanya bahagian penyerang tidak membabitkan pemain JDT.
Ayam tambatan baharu Terengganu FC, Makan Konate merekodkan nilai tertinggi dengan €375,000 (RM1.8 juta).
Konate yang berasal dari Mali itu dipilih bersama penjaring terbanyak Liga Super musim lalu, Ifedayo Olusegun dengan nilai €325,000 (RM1.6 juta) berikutan keupayaan hebat merobek gawang gol lawan.
Berdasarkan senarai itu, terdapat lima pemain tempatan berada dalam kesebelasan utama dengan selebihnya adalah tonggak import.
Mengikut jumlah keseluruhan nilai kesebelasan utama pasukan impian itu, ia merekodkan RM20.5 juta dengan RM15.6 juta membabitkan pemain JDT.
Bintang tempatan seperti Safawi Rasid, Brendan Gan, Shahrul Saad, Shahrel Fikri dan Nor Azam Azih hanya layak berada dalam senarai simpanan pasukan impian termahal selepas tanda harga mereka berada pada paras €300,000 (RM1.5 juta) dan ke bawah mengikut posisi masing-masing.
Sumber : Harian Metro