Johor Darul Ta’zim (JDT) tidak ketinggalan membuat pelbagai persiapan menjelang musim baru 2021 ini. Setiap perkembangan sentiasa dikemaskini melalui laman sosial rasmi mereka (Facebook, Instagram dan Twitter).
JDT melakukan bukan setakat penambahbaikan daripada segi barisan pemain, malah stadium ikonik JDT, Stadium Sultan Ibrahim juga tampak sudah sedia untuk ‘bercahaya’ bagi musim 2021 ini.
Tunku Ismail Sultan Ibrahim selaku pemilik JDT, berkongsi perkembangan terbaharu mengenai stadium skuad Harimau Selatan itu dan telah mengesahkan beberapa penambahbaikan yang sedang dilakukan berjalan lancar.
“Perkembangan padang kita mengikut jadual. Buat masa ini kami menunggu akarnya lebih kuat dan kami akan potong rumputnya untuk mengemaskannya lagi.
“Tetapi semua berjalan dengan lancar dan kualiti pun baik. Di sekeliling padang, anda boleh lihat ada jarak, pasir dan beberapa kotak hitam. Itu adalah untuk rumput tiruan yang akan kita letakkan di keliling padang.
“Ini adalah supaya apabila pemain memanaskan badan, rumput itu tidak akan kopak dan juga nampak lebih cantik dan kemas. Itu berkenaan padang,” katanya TMJ menerusi klip video pendek di laman facebook Johor Southern Tigers, semalam.
Dalam perkembangan yang sama, Tunku Ismail turut mengumumkan pihaknya akan meletakkan papan diod pancaran cahaya (LED) di bahagian atas dan akan sama dan selari dengan papan LED yang berada di bahagian bawah stadium.
“Apa sahaja yang ada di LED bawah iaitu gambar atau video akan sama dengan di LED bahagian atas. Itulah yang saya mahu kongsikan.
“Ada beberapa lagi perkara yang kita sudah perbaiki membabitkan stadium dan pusat latihan yang akan saya kongsi pada masa akan datang,” kata Tunku Ismail.