Persediaan rapi setiap pasukan Liga Super untuk menghadapi saingan musim 2021 dilihat tidak berupaya menggugat juara tujuh kali Liga Super, Johor Darul Ta’zim (JDT). JDT dijangka akan terus cemerlang mempertahankan kejuaraan sekali lagi musim 2021.

Begitulah pandangan pemerhati bola sepak negara yang berpendapat pasukan lain Liga Super mungkin hanya boleh bersaing merebut kedudukan kedua selain mengharapkan tuah menyebelahi mereka kelak.

Hanya empat pasukan yang berpotensi memberikan saingan kepada JDT disamping mampu menyinar iaitu Selangor, Terengganu, Perak dan UiTM.

Azrai Khor tidak menyenaraikan pasukan Kedah walaupun pasukan itu dilihat membuat perubahan dengan mengikat beberapa pemain baharu musim depan termasuk pemain kebangsaan Lubnan yang baru tiba minggu ini.

Selain itu Azrai turut memainkan peranan dalam membimbing Kedah di zaman kecemerlangan pasukan itu dengan double treble.

Jurulatih berpengalaman, Azraai Khor Abdullah turut berkata, hasil pemerhatiannya mendapati kedudukan JDT amat sukar digugat setelah dilihat JDT mempunyai barisan pemain mantap selain kejurulatihan dan pusat latihan sistematik.

Beliau berkata, JDT hanya melakukan penambahbaikan sedikit terhadap pasukan bagi menempuh saingan liga 2021. Namun JDT dilihat masih lagi gah untuk terus mengekalkan rentak kemenangan yang dikecapi musim lalu.

“Kita boleh lihat barisan pemain JDT sudah bersama dalam tempoh lama sekali gus mereka mampu membentuk keserasian antara mereka.

“Pemain mereka di bangku simpanan juga diakui hebat dan tidak mempunyai masalah untuk menurunkan skuad kedua mereka,” kata Azrai Khor.

Selain JDT, Selangor, Terengganu, Perak dan UiTM juga harus diberikan perhatian oleh pasukan lain memandangkan mereka kini giat menyiapkan barisan pemain menerusi ‘adunan’ jurulatih baharu mereka.

“Selangor sebagai contoh, mereka bakal membariskan muka baharu yang kebanyakannya adalah pemain muda dan menggunakan kepakaran atau jurulatih baharu mereka daripada Jerman.

“UiTM pula terkenal sebagai ‘pembunuh pasukan gergasi’ dan semua mengetahui bahawa jurulatihnya Frank Bernhardt amat bijak menyusun pemain yang sedia ada.

“Perak dan Terengganu pula, saya lihat akan mempamerkan prestasi konsisten meteka berikutan mengekalkan pemain lama mereka dan ini penting untuk membentuk keserasian,” katanya.

Sumber : Harian Metro