Belum ada dan tiada pasukan dalam Liga Malaysia (Liga M) yang layak menggantikan tempat Johor Darul Ta’zim (JDT) untuk bersaing di pentas Liga Juara-Juara Asia (ACL) sekiranya pendaftaran skuad Harimau Selatan menyertai kejohanan itu ditolak Konfederasi Bolasepak Asia (AFC).
Sebelum ini terdengar ura-ura bahawa JDT akan didenda dan digantung dari kejuaraan tersebut.
Perkara itu disuarakan oleh bekas pemain kebangsaan dan juga penganalisis sukan bola sepak negara, Serbegeth Singh. Perkara tersebut mengambil kira tahap kemampuan kewangan pasukan lain selain JDT dan persembahan mereka di atas padang.
“Maafkan saya, dalam isu ini ada dua perkara. Pertama, kebolehan (tahap permainan) di atas padang, sememangnya pasukan lainmasih tak layak,” kata Shebby.
“Kedua, kemampuan kewangan, sanggupkah mereka ini ? Ada ke kewangan yang mencukupi nak ke sana ke mari bermain perlawanan di tempat lawan dan menanggung semua kos itu.
“Kebolehan atas padang tidak ada, kemampuan luar padang pun tak ada juga. Maafkan saya, dari segi kewangan, saya tak rasa pasukan tersebut boleh tanggung.”
Menurut laporan sebelum ini, empat pasukan iaitu Kedah, Terengganu FC (TFC), Perak dan Selangor dianggap memenuhi kriteria dan layak untuk menggantikan tempat JDT di ACL sekiranya benar-benar Harimau Selatan tidak boleh beraksi di kejuaraan elit itu.
Telah timbul desas desus yang mendakwa pendaftaran skuad bimbingan Harimau Selatan untuk ke ACL ditolak oleh AFC kerana dipercayai ia berpunca daripada kegagalan pasukan JDT menghabiskan baki aksi peringkat kumpulan musim ini di Doha.
JDT terpaksa menarik diri selepas Kerajaan Malaysia tidak membenarkan pergerakan keluar masuk di pintu sempadan negara sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).
Selain itu, Serbegeth atau lebih dikenali sebagai Shebby berkata JDT dan bola sepak Malaysia boleh dikira menjadi mangsa keadaan jika benar-benar AFC mengenakan hukuman itu terhadap Harimau Selatan.
“Yang menjadi mangsa sekarang ini adalah bukan saja JDT, malah bola sepak Malaysia yang jadi mangsa kerana penampilan dalam ACL amat perlu sebab pemain perlu mendapat pendedahan.
“AFC tak boleh terburu-buru buat keputusan. Saya rasa AFC kena tumpukan perhatian kepada kalendar 2021 daripada membazir masa memikirkan apa bentuk denda untuk JDT.
“Mereka tak boleh nafikan tempat JDT sebab layak mengikut, namun tindakan menarik diri yang diambil atas keputusan kerajaan kerana pandemik yang melanda seluruh dunia,” katanya.
Foto : The Photoshooterz / Sumber : Berita Harian