Safawi Rasid baru sahaja menggondol Anugerah Pemain Tengah Terbaik Anugerah Bolasepak Kebangsaan (ABK) 20 Virtual semalam.
Beliau kini mendapat satu lagi tonik sebagai pembakar semangat sebelum mengharungi musim 2021.
Ini berikutan pemain berusia 23 tahun itu mencipta kejutan apabila turut tersenarai sebagai 24 calon untuk merebut Anugerah Pemain Terbaik Di Asia oleh Fox Sports Asia bagi musim 2020.
Lebih membanggakan lagi, Safawi merupakan satu-satunya wakil dari Asia Tenggara yang ‘lolos’ dalam senarai itu. Ia sekali gus membuktikan reputasinya sebagai antara bintang paling menyerlah di rantau ini.
Namun ia tidak semudah itu untuk menggondol anugerah tersebut. Pemain Johor Darul Ta’zim (JDT) itu bakal menerima tentangan sengit daripada ramai bintang terkemuka Asia. Jepun mendominasi senarai terbabit setelah lima pemain mereka tercalon diikuti dengan Korea Selatan dan Iran masing-masing dengan empat senarai pemain.
Berpandukan kepada prestasi semasa, pemain Tottenham Hotspur, Son Heung Min dilihat menjadi calon pilihan untuk menggondol gelaran tersebut.
Antara pemain terkemuka lain yang beraksi di Eropah, turut tersenarai adalah Hwang Hee Chan (RB Salzburg dan RB Leipzig), Takefusa Kubo (Real Mallorca dan Villareal), Wataru Endo (Stuttgart), Takehiro Tomiyasu (Bologna) serta Matthew Ryan (Brighton).
Cabaran pemain dari benua Asia juga tidak kurang hebatnya apabila menampilkan pencalonan seperti Andres Iniesta (Vissel Kobe), Shoja Khalilzadeh (Persepolis dan Al Rayyan) dan juga Won Du Jae dan Yoon Bit Garam (Ulsan Hyundai).
Selepas menerima Anugerah Pemain Tengah Terbaik ABK20 Virtual. , Safawi mengambil kesempatan untuk melontarkan penghargaan kepada pemilik pasukan Harimau Selatan, Tunku Ismail Sultan Ibrahim atas kejayaannya meraih
“Terima kasih kepada keluarga dan Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim yang sentiasa menyokong saya. Terima kasih juga kepada seluruh penyokong bola sepak Malaysia.
“Insya-Allah tahun depan saya akan buat yang lebih baik,” kata Safawi.
JDT mendominasi ABK 20 selepas merangkul kemenangan dalam lima kategori iaitu Pasukan Terbaik 2020, Anugerah Pemain Tengah Terbaik (Safawi Rasid), Jurulatih Terbaik 2020 (Benjamin Mora), Penjaga Gol Terbaik (Farizal Marlias) dan Pertahanan Terbaik (Aidil Zafuan Abd. Radzak).