Liridon Krasniqi, pemain tengah Johor Darul Ta’zim (JDT), dan juga pemain naturalisasi kedua negara hampir pasti menyarung jersi Harimau Malaya menjelang aksi pertama skuad kebangsaan dalam kempen kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 yang tertangguh hampir setahun.

Liridon adalah antara 26 hingga 30 pemain yang disenaraikan bagi menyertai kem latihan pusat skuad kebangsaan bermula 15 hingga 26 Januari depan sebagai persiapan menghadapi aksi Kumpulan G Kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 menentang Emiriyah Arab Bersatu (UAE) dan Vietnam pada bulan Mac.

Ini merupakan pertama kali bekas pemain kebangsaan Kosovo berusia 28 tahun itu dipanggil oleh ketua jurulatih skuad kebangsaan Tan Cheng Hoe setelah sah menjadi warganegara Malaysia pada Februari lepas.

Datuk Mohd Yusoff Mahadi, Timbalan Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) merangkap pengurus skuad kebangsaan berkata Liridon terlebih dahulu perlu menampilkan prestasi terbaik serta membuktikan kesungguhan diri beliau sebelum layak dipilih mewakili Malaysia.

“Sama ada Liridon mendapat tempat dalam skuad kebangsaan atau tidak, ia banyak bergantung kepada prestasi semasa ketika kem latihan pusat atau penilaian dilakukan oleh barisan kejurulatihan yang bertujuan untuk pastikan prestasi terkini adalah terbaik untuk mewakili negara,” kata Mohd Yusoff Mahadi.

“Mana-mana pemain terbaik negara sebelum ini juga dinilai semula oleh jurulatih pada kem latihan pusat, jadi perkembangan beliau akan dipantau sepanjang tempoh kem latihan dan berharap beliau dapat menyumbang sesuatu pada Mac nanti,” katanya.

Jika Liridon terpilih mewakili Malaysia, dia akan menjadi pemain naturalisasi kedua beraksi untuk Malaysia selepas Mohamadou Sumareh, yang juga bekas pemain sayap Pahang, membuat penampilan pertamanya pada Oktober 2018.

Pada masa sama, perkembangan itu menyaksikan Cheng Hoe dan Liridon akan kembali bekerjasama buat kali pertama sejak kedua-dua individu itu berganding bahu membantu pasukan Kedah melakar beberapa kejayaan pada musim 2015 hingga 2017.

Pengendali berusia 52 tahun itu adalah individu yang bertanggungjawab membentuk Liridon menjadi salah seorang pemain import terbaik dalam Liga Malaysia (Liga M) ketika bersama skuad Kedah.

Mohd Yusoff mengakui teruja untuk melihat bagaimana Cheng Hoe akan menggunakan kelebihan yang dimiliki oleh Liridon dalam sistem permainan pasukan kebangsaan.

Sumber : Berita Harian