Gergasi bola sepak tanah air, Johor Darul Ta’zim (JDT) membolot 5 kategori yang dipertandingkan pada Anugerah Bola Sepak Kebangsaan 2020 (ABK20) yang dilangsungkan secara virtual sebentar tadi.

Dominasi pasukan juara tujuh kali Liga Super berturut-turut itu pada majlis anugerah berkenaan bermula dengan kejayan Mohd. Farizal Marlias yang dinobatkan sebagai Penjaga Gol Terbaik 2020.

Kemudiannya diiringi dengan kemenangan Aidil Zafuan Abdul Radzak bagi kategori Pertahanan Terbaik 2020; Muhammad Safawi Rasid (Pemain Tengah Terbaik 2020); Benjamin Mora (Jurulatih Terbaik 2020) dan Pasukan Terbaik 2020.

Bagaimanapun, Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) mencipta kejutan apabila menobatkan para penyokong Liga Malaysia (Liga M) yang sinonim dengan gelaran pemain ke-12, sebagai pemenang kategori Pemain Paling Bernilai (MVP) ABK20.

Berbanding tradisi sebelum ini yang menyaksikan pemain terbaik tempatan dipilih MVP, barisan juri bersama pihak MFL menganggap kemenangan itu wajar diberikan kepada para peminat sebagai tanda sokongan kukuh mereka terhadap arena bola sepak tanah air.

Ketua Pegawai Eksekutif MFL, Datuk Ab. Ghani Hassan berkata, anugerah itu diberikan disebabkan penyokong-penyokong terus setia memberikan sokongan padu kepada pasukan masing-masing biarpun berdepan detik sukar menghadapi wabak pandemik Covid-19.

“Saya mewakili MFL mengucapkan tahniah kepada penyokong Liga M dan mengucapkan terima kasih kepada semua yang terlibat termasuk pasukan, pemain, penaja dan lain-lain di atas sumbangan mereka menjayakan Liga M 2020,” katanya.

SENARAI PEMENANG ABK20 :

Penjaring Terbanyak Tempatan Liga Premier 2020 : Danial Asri (Selangor 2)

Penjaga Gol Terbaik 2020 : Mohd. Farizal Marlias (JDT)

Penjaring Terbanyak Liga Premier 2020 : Casagrande (Pulau Pinang)

Pertahanan Terbaik 2020 : Aidil Zafuan Abdul Radzak (JDT)

Penjaring Terbanyak Tempatan Liga Super 2020 : Muhammad Shahrel Fikri Md. Fauzi (Perak)

Pemain Tengah Terbaik 2020 : Muhammad Safawi Rasid (JDT)

Penjaring Terbanyak Liga Super 2020 : Ifedayo Olusegun (Selangor)

Penyerang Terbaik 2020 : Muhammad Shahrel Fikri Md. Fauzi (Perak)

Jurulatih Terbaik 2020 : Benjamin Mora (JDT)

Kasut Emas 2020 : Ifedayo Olusegun (Selangor)

Pasukan Terbaik 2020 : Johor Darul Ta’zim (JDT)

Anugerah Khas Pemain Paling Bernilai (MVP) : Penyokong Liga Malaysia