Persiapan Kedah Darul Aman FC (KDA FC) untuk musim hadapan bermula lebih awal dengan memantapkan lagi barisan pemain termasuk jurulatihnya. Perlawanan pertama musim depan adalah Liga Super merebut Piala Sumbangsih menentang Johor Darul Ta’zim (JDT).

Namun ujian sebenar skuad Kedah dalam memulakan musim 2021 bakal disaksikan apabila skuad Hijau Kuning itu berentap pada perlawanan Sumbangsih bagi merebut Piala Sultan Ahmad Shah menentang Johor Darul Ta’zim (JDT) yang dijadualkan pada 26 Februari depan.

Ia diakui oleh Ketua Pegawai Eksekutif Kedah Darul Aman FC (KDA FC), Khamal Idris Ali yang mengharapkan segala persiapan yang sedang dilakukan berjalan dengan lancar dan teratur dalam proses membentuk skuad yang lebih mantap.”Satu perlawanan yang cukup mencabar dan ujian yang dinantikan nanti adalah pada aksi Piala Sumbangsih 2021 menentang JDT FC pada 26 Februari depan. Pada waktu itu kita boleh menilai betapa cukup dan baiknya persiapan kita, supaya dapat bersaing hebat dengan pasukan Harimau Selatan itu.

JDT merupakan juara bertahan Piala Sumbangsih dan memenanginya tiga tahun berturut-turut sejak 2018. Dalam tiga tahun tersebut, Kedah tewas dua kali iaitu pada tahun 2018 (1-2) dan 2020 (0-1). Kali terakhir Kedah menjulang Piala Sumbangsih adalah pada tahun 2017 bertemu JDT di Stadium Larkin pada 20 Januari di mana Kedah menang melalui tendangan penalti (5-4).

“Pada saya, persediaan Kedah kini berjalan dengan lancar, bermula dengan baik, pemain pula tidak banyak menghadapi masalah serta bebas dari sebarang kecederaan. Harapan saya persediaan kita kali ini akan menghasilkan pasukan yang mantap untuk musim 2021.” katanya.

Khamal yang juga bekas pemain Kedah, berkeyakinan dengan beberapa perubahan mantap yang dirancang di ruang tengah khususnya untuk mempertajamkan lagi serangan skuad Lang Merah.

“Dengan kemasukan beberapa pemain baharu yang masih segar dari segi suasana pasukan, tambahan dengan pemain import baharu nampak kita boleh lebih mencabar.

“Harap-harap KDA FC dapat beri satu saingan hebat pada kelompok lima pasukan teratas dalam Liga Super.” katanya.

Dalam pada itu Aidil Sharin, pengendali Kedah yang memulakan tugas latihan hari pertama bersama skuadnya semalam turut bersemangat melihat keceriaan pemain-pemain tempatan yang telah memulakan latihan sejak 20 December lalu.

“Alhamdulillah, semangat pemain-pemain dalam pasukan dilihat tinggi dengan sikap penuh kerjasama mereka secara berpasukan dan ini dilihat mampu meningkatkan lagi persefahaman antara mereka nanti.”

Kedah setakat ini sudah mengumumkan dua penyerang importnya Kpah Sherman dan Kipre Tchetche kekal bersama skuad ini untuk musim depan dan seterusnya Kedah dijangka akan mengumumkan senarai penuh nama pemain dan barisan kejurulatihan termasuk jersi rasmi pasukan untuk musim depan sekitar hujung Januari depan.

Bagi JDT pula, mereka dijangka menunggu kedatangan pasukan Kedah di Stadium Sultan Ibrahim dengan sikap berhati-berhati. Bermain di laman sendiri adalah satu kelebihan bagi mereka.

Di Stadium yang samajuga (Stadium Sultan Ibrahim) pada 28 Februari tahun ini menjadi saksi kemenangan JDT menjulang piala tersebut buat kali ketiga berturut-turut. Ia juga kemanangan manis JDT di stadium baharu mereka dan perlawanan pertama di stadium itu.

JDT berjaya menundukkan pasukan Kedah dengan jaringan tunggal Mauricio Nascimento pada penghujung separuh masa pertama.

Sumber : Harian Metro.