Adalah lebih baik berada di Johor Darul Ta’zim (JDT) daripada kekal di Portimonense SC tetapi sekaadar duduk di bangku simpanan sahaja – Zulakbal.
Begitulah pandangan Tenaga Pengajar Elit Konfederasi Bolasepak Asia (AFC), Dr Zulakbal Abd Karim ketika mengulas mengenai keputusan Safawi Rasid, penyerang kebangsaan, yang pulang lebih awal daripada berkelana di Portugal. Beliau sepatutnya mengharungi tempoh pinjaman dengan Portimonense SC selama semusim berakhir Mei depan.
Zulakbal adalah juga seorang pemerhati bola sepak melihat ianya satu langkah yang tepat diambil oleh Safawi pulang ke tanah air bagi memastikan dia mendapat minit perlawanan yang banyak dan cukup untuk perkembangan terus kariernya.
“Sememangnya beraksi di Eropah itu memberikan satu pengalaman dan ilmu yang berbeza, namun jika hanya semata-mata menjalani latihan tanpa beraksi dalam perlawanan kompetitif, perkara ini dikhuatiri akan memberi kesan kepada perkembangannya.” kata Zulakbal.
“Lebih baik Safawi pulang dan beraksi bersama JDT. Sudah tentu di JDT dia akan mendapat begitu banyak minit perlawanan dan beraksi secara kompetitif yang pastinya dapat memberi manfaat kepada JDT sendiri dan pasukan kebangsaan.
“Pada usianya ketika ini, dia tengah berada dalam “tempoh emas” dan memerlukan begitu banyak ninit perlawanan untuk terus berkembang dan mencapai kepada kemuncak potensi. Dengan membuat keputusan pulang ke JDT, dia akan mendapat apa yang diperlukan.” katanya.
Menurut laporan oleh Berita Harian Sukan, penyokong bola sepak negara sudah boleh melupakan impian untuk menyaksikan Safawi beraksi bersama Portimonense apabila penyerang itu sah meninggalkan kelab di liga utama Portugal berkenaan.
Malah, melalui sumber yang diperoleh, Pemain Paling Bernilai (MVP) Liga Malaysia (Liga M) dua tahun berturut-turut itu telah tiba dan pulang ke tanah air.
“Ya, betul, Safawi sudah di Malaysia. Dia kini begitu bersemangat untuk memulakan musim baharu bersama JDT dan membantu skuad negara mengharungi kelayakan (Piala Dunia 2022/ Piala Asia 2023.” menurut sumber itu.
Spekulasi kepulangan pemain JDT itu ke tanah air turut diperkuat dengan perkongsian terbaharu pemain itu di laman Instagramnya yang seakan mengiyakan perkembangan bahawa dia sudah berada di Malaysia.
Melalui Instastory terbaharu beliau, pemain berusia 23 tahun itu dilihat bergambar bersama pemilik JDT, Tunku Ismail Sultan Ibrahim dan rakan sepasukannya, Azrif Nasrulhaq.
Nada positif ditunjukkan oleh Safawi menerusi wajahnya yang ceria dengan dia turut berkesempatan meletakkan imoji ‘bekerja keras’ dan gambar harimau belang.
Artikel Penuh :Berita Harian
Foto : The Photoshooterz