Kelab Police Tero FC benar-benar menjadi tempat persinggahan pemain naturalisasi pertama negara, Mohamadou Sumareh selepas beliau tidak lagi bersama pasukan itu dalam mengharungi baki kempen Liga Thailand musim ini.

Berdasarkan kepada laporan media tempatan, Goal Thailand menyatakan bahawa pemain berusia 26 tahun itu sah ‘bercerai’ dengan Police Tero. Sumareh mula menyertai pasukan itu pada September lalu selepas meninggalkan Pahang..

Police Tero ketika ini di separuh musim, berada di tangga ke 12 Liga 1 Thailand. Selepas 16 perlawanan, separuh musim liga, mereka hanya berjaya mengutip 19 mata hasil dari 5 kemenangan dan 4 seri.

Sumareh tidak lagi ditawarkan kontrak bersama Police Tero.

“Sumareh tidak akan bersama Police Tero selepas tidak ditawarkan kontrak lanjutan daripada pasukan itu. Bintang Gambia itu dilaporkan sedang menjalani persiapan untuk kembali ke Malaysia.

“Untuk rekod bersama Police Tero FC, dia hanya dapat beraksi sebanyak empat perlawanan serta diturunkan dalam kesebelasan utama hanya dalam satu perlawanan dengan 111 minit perlawanan secara keseluruhan tanpa sebarang gol.”

Kali terakhir Sumareh beraksi adalah dalam perlawanan menentang Nakhon Ratchasima sebagai pemain gantian pada 19 Disember lepas. Police Tero tewas 0-4 pada perlawanan itu.

Sumareh hanya berada dalam kesebelasan utama pada perlawanan menentang Rayong pada 13 Disember lepas. Beliau hanya dapat beraksi selama 58 minit perlawanan.

Sepanjang berada bersama Police Tero FC, Sumareh telah berdepan dengan kecederaan dan beraksi dalam keadaan yang tidak begitu baik,” kata Goal Thailand.

Sebelum ini Sumareh telah dikaitkan dengan perpindahan ke Johor Darul Ta’zim (JDT) untuk Liga Malaysia musim hadapan. Pemilik JDT, Tunku Ismail Sultan Ibrahim turut menyatakan akan berbincang dengan Presiden PBNP, Tengku Abdul Rahman Sultan Ahmad Shah jika Sumareh mahu kembali ke Liga Malaysia (Liga M) dan menyertai skuad Harimau Selatan.

Bersama-sama dengan Sumareh ketika di Police Tero adalah bekas pemain JDT iaitu Dominic Tan.

Sumber : Berita Harian