Kelab Johor Darul Ta’zim (JDT) dilihat memberi fokus untuk mengikat bakat pemain muda ke dalam pasukan itu dalam memperkemaskan projek jangka masa panjang skuad yang memenangi kejuaraan Liga Super tujuh musim berturut-turut.
Tunku Ismail Sultan Ibrahim, pemilik JDT, berkata, Danial Amier Norhisham, pemain baharu JDT, adalah contoh bakat muda yang diperlukan kelab dalam mencipta lebih banyak kejayaan selepas ini.
“Danial Amier bukan sahaja berbakat besar malah dia seorang pemain yang mempunyai semangat juang yang tinggi di atas padang dan bersedia merebut tempat dalam kesebelasan utama di JDT.
“JDT sentiasa fokus pada pelan jangka masa panjang. Mereka yang datang sini bukan sahaja datang bermain satu tahun selepas itu tahun depannya tamat kontrak.
“Mereka datang ke JDT dua, tiga dan empat tahun. Lagi lama lagi bagus kerana ia akan memberi kami peluang untuk membimbing dan mendidik mereka dengan sistem yang sedia ada di sini.
“Saya rasa sistem yang ada di JDT adalah sistem yang terbaik. Kalau tak bagus, tak mungkin JDT menang 16 piala dalam tempoh masa lapan tahun,” kata Tunku Ismail pada sidang akhbar di Ibu Pejabat JDT.
Tunku Ismail turut berkata, sistem penggiliran yang diamalkan di JDT memberi peluang kepada pemain untuk mendapatkan minit permainan bagi membuktikan kemampuan masing-masing di atas padang.
“Siapa sangka Muhammad Ramadhan Saifullah akan dapat banyak peluang beraksi pada tahun ini. Arif Aiman Mohd Hanafi juga turut membuat penampilan pertama bersama skuad utama pada usia 18 tahun.
“Di JDT, kita tidak menilai pada senioriti, tapi sebaluknya memberi fokus kepada pemain yang sentiasa bekerja kerja keras ketika dalam latihan. Mungkin Danial yang baru berusia 23 tahun akan dapat minit permainan lebih banyak berbanding sesetengah pemain senior yang lain.
“Ketua jurulatih JDT, Benjamin Mora, bukan sahaja fokus pada soal siapa lebih senior tetapi yang paling mustahak adalah dedikasi serta komitmen di atas padang.” kata Tunku Ismail.
Sumber : Berita Harian