Setiap pasukan sedang sibuk mengurus kemasukan dan perpindahan pemain mereka ketika musim 2020 telah berakhir dan menjelang musim baru 2021. Ia termasuk pemain import dan tidak ketinggalan pemain tempatan. Perpindahan pemain adalah perkara biasa dalam sistem bola sepak sesebuah negara.

Perpindahan dan pengambilan pemain itu tidak terkecuali bakat muda dari Akademi Bolasepak Negara. Ia dilihat satu perkembangan yang positif dalam menambah kelancaran bola sepak negara.

Beberapa pemain juara Liga Super tujuh tahun berturut-turut, Johor Darul Ta’zim (JDT) diberitakan dan telah sah menyertai pasukan Kedah (KDA FC). Seperti yang dilaporkan oleh akhbar tempatan dan pemain itu sendiri, Khairul Azman Mohamed dan Rozaimi Abdul Rahman telah sah ke pasukan Kedah untuk semurang-kurangnya musim hadapan (2021).

Setelah lapan tahun menjadi jurulatih penjaga gol JDT, kini Khairul Azman Mohamed berubah angin ke utara Semenanjung, Kedah. KDA dianggap beruntung memiliki jurulatih seperti beliau kerana selain dari pengalamannya sebagai penjaga gol kebangsaan, lapan tahun bersama JDT sudah tentu pengalaman beliau itu tiada tolok bandingnya.

Mungkin pengalaman bersama JDT itu, KDA mengharapkan satu perubahan pada landskap bola sepak Kedah.

“Selamat datang legenda penjaga gol Khairul Azman ke Kedah. Kemasukan beliau adalah satu strategi terbaharu kerana kita mahu melakukan penambahbaikan dari semua aspek, termasuk kejurulatihan pada musim depan berbanding musim sebelum ini.

“Dari banyak pengalaman yang beliau lalui, saya rasa kita akan dapat menerima manfaat besar untuk memajukan pasukan dan beliau diyakini dapat mencurahkan segala ilmu penjaga gol khususnya untuk pemain muda hingga senior dalam pasukan Kedah” kata Khamal Idris Ali, Ketua Pegawai Eksekutif Kedah Darul Aman FC.

Khairul Azman yang adalah seorang bekas penjaga gol kebangsaan telah membuat 59 penampilan, turut memiliki rekod cemerlang sebagai penjaga gol Pahang dari 1985 hingga 1995 dan kemudian menyertai Sabah hingga 2005.

Rozaimi Abdul Rahman pula memilih juga untuk musim hadapan. Beliau bertekad mahu membuktikan kemampuan dan kesungguhannya untuk penyokong skuad Hijau Kuning itu dalam saingan Liga Malaysia (Liga M) dan Piala AFC pada musim depan.

Beliau dikaitkan dengan pasukan kelahirannya, Sabah, namun akhirnya memilih Kedah.Rozaimi bersama JDT sejak 2016 selepas ditimpa kemalangan jalanraya di Sabah. Beliau banyak menghabiskan masa melakukan pemulihan sebelum benar-benar cergas.

Pemilik JDT, Tunku Ismail Sultan Ibrahim (TMJ) memainkan banyak peranan dalam mengembalikan kecergasan Rozaimi sehingga dapat beraksi semual.

“Saya pilih Kedah sebab ia memang sudah menjadi sasaran saya sebelum ini. Diisamping itu ramai pemain yang saya kenali dalam pasukan itu yang turut memberi galakan dan saya perlu berusaha dengan lebih gigih bagi membuktikan kemampuan yang saya miliki.

“Tiada masalah untuk saya berhijrah ke Kedah. Saya juga hendak mencari pengalaman bersama pasukan Kedah dan sebelum ini pun memang niat saya untuk bermain dengan Kedah.

“Persaingan dalam pasukan yang padu dari pengamatan saya, sebenarnya adalah cabaran untuk saya buktikan saya masih boleh bermain dengan baik.” katanya.

Semoga perpindahan mereka berdua dapat membantu pasukan baharu mereka dalam saingan Liga Malaysia musim depan.

Foto : Kedah Darul Aman