Johor Darul Ta’zim (JDT), juara Liga Super tujuh musim berturut-turut, bakal membawa masuk 3 pemain tempatan dan seorang pemain import bagi memperkuatkan pasukan itu dalam mengharungi kempen Liga Super dan Liga Juara-Juara Asia (ACL) musim depan.
Tunku Ismail Sultan Ibrahim, pemilik JDT, ketika mengesahkan perkara itu berkata pihaknya kini dalam proses terakir bagi melengkapkan perpindahan tersebut sebelum memperkenalkan mereka dalam masa yang terdekat.
“Proses melengkapkan perpindahan pemain tersebut kini sudah mencapai tahap 95 peratus, cuma ada beberapa perkara yang perlu dimuktamadkan,”
Tunku Ismail berkata selepas memperkenalkan pemain baharu JDT, Daniel Amier Norhisham, 23, yang mengikat kontrak selama dua tahun hari ini.
Daniel Amier, bekas pemain FELDA United yang menyertai JDT akan menyarung jersi bernombor 16.
Tunku Ismail berkata, pada hari ini juga JDT menandatangani bakat muda dari Indonesia yang akan dilaporkan oleh media asing di negara jiran itu.
“Bila kita beli pemain, mereka bukan hanya nampak di sini, mereka berada di merata-rata. Contohnya adalah Endrick dos Santos yang sudah beraksi selama dua tahun di Pulau Pinang adalah pemain kami. Malah kami ada pemain yang beraksi di luar negara.
“Siapa sahaja kita tandatangani di JDT, satunya untuk kejayaan masa pendek atau pelan jangka panjang. Bintang muda seperti Danial Amier yang akan mengetuai JDT pada masa depan,” katanya.
Foto : The Phoshooterz.