Danial Amier Norhisham bekas pemain FELDA United, secara rasmi telah menjadi ahli baharu keluarga kelab Johor Darul Ta’zim (JDT) bagi mengharungi kempen Liga Malaysia (Liga M) musim depan..

Danial Amier, pemain kelahiran Kuala Lumpur itu telah mengikat kontrak selama dua tahun dan akan menguatkan JDT di posisi tengah. Malah Danial Amier, 23 tahun juga merupakan projek jangkamasa panjang skuad yang memenangi Liga Super tujuh musim berturut-turut.

Danial Amier berasa terkejut apabila pemilik JDT, Tunku Mahkota Johor (TMJ), Tunku Ismail Sultan Ibrahim berminat mendapatkan khidmatnya pada awal musim ini. Namun di atas beberapa faktor maka penghijrahan ke JDT hanya dapat direakisasikan untuk beraksi pada musim depan.

“Saya sendiri amat terkejut apabila mendapat tahu baginda berminat untuk saya menyertai JDT. Ia satu pengiktirafan dari TMJ sendiri. Ia bukan satu yang mudah dan sekali gus akan memberi motivisi buat saya meningkatkan lagi tahap permainan.

“Menyertai JDT dan perlu bekerja keras untuk berada dalam skuad utama bukanlah tugas mudah kerana kita tahu di posisi tengah JDT dibarisi oleh pemain yang hebat dan saya perlu keluar daripada zon selesa serta mencabar diri sendiri bukan sahaja mampu meningkatkan kualiti permainan tapi berazam berada dalam kesebelasan skuad utama JDT.

“Sebelum saya ke JDT, rakan-rakan seperti Safawai Rasid, Akhyar Rashid dan Syamer Kutty Abba memberi maklumat yang secara terperinci mengenai pasukan itu dan ia menguatkan lagi keinginan saya menyertai JDT bagi meneruskan karier bola sepak saya sebagai pemain profesional,” katanya.

Apabila ditanya sama ada bersedia berdepan dengan ketegasan Tunku Ismail sama ada di dalam atau di luar padang, Danial Amier menyifatkan sebagai pemain, mereka semestinya mesti menghormati majikan dan bersedia memberi persembahan terbaik ketika latihan dan  dalam perlawanan liga nanti.

“Baginda sudah melabur wang ringgit dan menghabiskan masa bersama JDT dan sudah tentu Baginda mahukan pulangan yang terbaik. Saya sebagai pemain harus bersedia dan menyahut apa juga cabaran jika turun beraksi nanti,” kata Danial Amier.

Sementara itu, ketua jurulatih JDT, Benjamin Mora, menganggap kehadiran Danial Amier akan memberi impak positif dalam skuad itu kerana pemain itu memiliki kualiti dan tidak berdepan masalah mengadaptasi falsafah corak permainan JDT.

“Danial Amier memiliki pengalaman bukan hanya telah beraksi bersama FELDA United malah beliau turut membantu skuad Bawah 23 tahun kebangsaan meraih pingat perak pada Sukan SEA Kuala Lumpur 2017.

“Dia akan diberi peluang beraksi kerana saingan musim depan tampak lebih banyak perlawanan dan pastinya akan berlaku penggiliran pemain. Bukan sahaja Daniel Amier sahaja akan beraksi malah kesemua pemain dalam JDT akan tersenarai dalam kesebelasan utama,” kata Benjamin Mora.

Sumber : Berita Harian