Johor Darul Ta’zim (JDT), juara bertahan Liga Super, menguasai senarai pencalonan dalam lima kategori utama Anugerah Bola Sepak Kebangsaan 2020 (ABK20) yang bakal diadakan secara maya pada Rabu, 30 Disember ini, susulan pandemik Covid-19.

Menerusi hantaran terbaharu dalam laman Facebook Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) semalam memaklumkan, tiga pemain pertahanan kebangsaan iaitu Aidil Zafuan Abd Radzak, La’Vere Corbin-Ong dan Matthew Davies, adalah antara 10 pemain tercalon dalam kategori Anugerah Pemain Pertahanan Terbaik.

Selain itu, seorang lagi pemain kebangsaan Mohd Afiq Fazail yang beraksi dengan skuad JDT, tercalon dalam anugerah Pemain Tengah Terbaik bersama tiga rakan lain iaitu Gonzalo Cabrera, Leandro Velazquez dan Muhammad Safawi Rasid.

Bekas penyerang JDT, Diogo Luis Santo yang telah kembali ke kelab Liga 1 Thailand, BG Pathum United FC bersama pemain muda JDT Ramadhan Saifullah Usman, tercalon untuk anugerah Penyerang Terbaik.

Manakala penjaga gol JDT, Farizal Marlias dan ketua jurulatih skuad berkenaan Benjamin Mora masing-masing disenaraikan sebagai calon bagi merebut anugerah Penjaga Gol Terbaik dan Jurulatih Terbaik.

50 calon melibatkan 40 pemain dan 10 jurulatih Liga Malaysia (Liga-M), bakal bertanding dalam kategori Penjaga Gol Terbaik, Pertahanan Terbaik, Pemain Tengah Terbaik, Penyerang Terbaik dan Jurulatih Terbaik.

Mereka yang disenarai pendek oleh Jawatankuasa Saringan ABK20 adalah 334 daripada jumlah keseluruhan 567 orang pemain, yang memenuhi kriteria beraksi sekurang-kurangnya 50 peratus daripada perlawanan Liga Malaysia pada musim 2020. Selain itu juga pemain muda yang berdaftar dalam pertandingan Piala Presiden dan Piala Belia, 

Juri profesional yang terdiri daripada 24 ketua jurulatih, 24 ketua pasukan dan 24 wakil media akan menyumbang 70 peratus kepada kiraan mata. Mereka akan memutuskan pemenang bagi lima kategori utama berkenaan.

Baki 30 peratus kiraan mata akan diputuskan oleh penyokong, menerusi undian di platform Elfo yang akan dipaparkan di semua laman media sosial rasmi MFL di Facebook, Instagram dan Twitter bermula dari 10 pagi ini (21 Disember) sehingga 11.59 malam 25 Disember.

Dalam majlis ABK20 itu nanti, MFL akan menyampaikan Anugerah Kasut Emas 2020 dan Anugerah Penjaring Terbanyak Liga Super kepada pemain import Selangor, Ifedayo Olusegun Omosuyi dari Nigeria, yang telah menjaringkan 12 gol musim ini.

Shahrel Fikri Md Fauzi, penyerang kebangsaan Muhammad pula akan menerima Anugerah Penjaring Terbanyak (Tempatan), selepas menjaringkan 10 gol mewakili Perak dalam saingan Liga Super 2020, manakala penyerang Pulau Pinang Casagrande dari Brazil, akan menerima Anugerah Kasut Emas Liga Premier selepas menghasilkan 9 gol pada musim ini.

Ahmad Danial Ahmad Asri, penyerang muda Selangor II, yang sah menyarung jersi Selangor pada musim hadapan bakal dinobatkan sebagai Penjaring Terbanyak Liga Premier (Tempatan) 2020 selepas menghasilkan 7 gol.

Sementara itu, MFL mengesahkan beberapa anugerah tidak dipertandingkan pada ABK20 tahun ini iaitu Pemain Muda Harapan, Pemain Import Terbaik, Pemain ASEAN Terbaik, Penyokong Terbaik, kesebelasan pemain terbaik pilihan penyokong, Pemain Paling Popular, Media Sosial Terbaik dan Laman Web Terbaik. 

Manakala anugerah lain yang tidak dipertandingkan kali ini adalah Anugerah Mesra Media, Anugerah Persahabatan, Anugerah Komuniti, Pemain dan Pasukan Terbaik Liga M3, Anugerah Fair Play dan Pengadil Berpotensi.

Senarai penuh calon lima kategori utama ABK 2020:

Penjaga Gol Terbaik : 

Farizal Marlias (JDT), Mohd Iqbal Suhaimi (Kuching FA), Kalamullah Al-Hafiz Mat Rowi (Petaling Jaya City FC), Khairul Fahmi Che Mat (Melaka), Khairulazhan Khalid (Selangor), Remezey Che Ros (UKM FC), Samuel Somerville (Pulau Pinang), Sharbinee Allawee Ramli (Pahang), Suhaimi Husin (Terengganu FC II), Zamir Selamat (Kuala Lumpur).

Pemain Pertahanan Terbaik : 

Aidil Zafuan Abd. Radzak, La’Vere Corbin Ong dan Matthew Davies (JDT), Azmi Muslim (Pulau Pinang), Rafiuddin Roddin (Perak), Shahrul Nizam Ros Hasni (Kelantan), Shahrul Mohd Saad (Perak), Muhammad Shakir Hamzah (Kedah), Victor Nirennold (UiTM FC), Wan Amirul Afiq Wan Ab Rahman (Melaka).

Pemain Tengah Terbaik: 

Muhd Afiq Fazail, Gonzalo Cabrera, Leandro Velazquez dan Muhammad Safawi Rasid (JDT), Brendan Gan (Selangor), Faisal Abdul Halim dan Nor Azam Abdul Azih (Pahang), Leandro dos Santos (Perak), Lee Andrew Tuck (Terengganu FC), Muhammad Syahmi Safari (Selangor).

Penyerang Terbaik:

Casagrande (Pulau Pinang), Diogo Luis Santo dan Ramadhan Saifullah Usman (JDT), Dominique da Sylva (Terengganu FC), Engku Nur Shakir Engku Yacob (Terengganu FC II), Fernando Rodriguez (JDT II), Francis Kone (Kuala Lumpur), Ifedayo Omosuyi Olusegun (Selangor), Muhammad Shahrel Fikri Md Fauzi (Perak), Brice Hermann Tchetche Kipre (Kedah).

Jurulatih Terbaik :

Aidil Sharin Sahak (Kedah), Akira Higashiyama (Kuching FA), Benjamin Mora (JDT), Frank Bernhardt (UiTM FC), Manzoor Azwira Abd Wahid (Pulau Pinang), Mehmet Durakovic (Perak), Michael Feichtenbeiner (Selangor), Nafuzi Zain (Terengganu FC), Muhd Nidzam Adzha Yusoff (Kuala Lumpur), Yusri Che Lah (Kelantan).

Artikel Penuh : Sinar Harian

Kredit Foto : MFL