Kenyataan pemilik Johor Darul Ta’zim (JDT), Tunku Ismail Sultan Ibrahim baru-baru ini tidak menyenaraikan Selangor sebagai pencabar utama mereka dalam saingan Liga Malaysia (Liga M) musim depan. Ia nyata di luar jangkaan peminat bola sepak tempatan.
Selangor dilihat adalah antara pasukan paling ‘aktif’ mempersiapkan pasukan musim depan berbanding dengan pasukan lain. Selangor giat mengikat jurulatih dari Jerman dan membawa masuk beberapa pemain baharu untuk memberi saingan yang lebih sengit.
Bercakap dalam sesi temu bual dalam rancangan Bola@Mamak TV Astro, Tunku Ismail memilih Kedah, Terengganu FC (TFC) dan Pahang sebagai pencabar skuad Harimau Selatan musim depan.
“Pertama sekali saya rasa Kedah. Kedah pasukan yang sukar untuk pasukan lawan. Mereka bermain bola sepak dengan sangat baik dan konsisten. Walau apa pun masalah yang berlaku di Kedah tapi pasukan mereka sentiasa mantap.
“Kedua adalah Terengganu, jika kita tengok masa JDT pergi Terengganu, kita nyaris kalah. Mereka bermain bola sepak dengan baik, mempunyi fasiliti bagus, pemainnya berdisiplin, jurulatih pun saya suka, jurulatih Terengganu juga sangat bagus.
“Ketiganya saya rasa Pahang, sebab JDT tiada rekod bagus dengan Pahang, macam 50-50, ada kala Pahang menang dan ada kala JDT menang.
“Pahang sentiasa menjadi lawan yang sukar bagi JDT, setiap tahun…tak pernah senang lawan Pahang,” katanya.
Apabila ditanya kenapa tidak menyenaraikan Selangor, Tunku Mahkota Johor (TMJ) berkata tahap Selangor lebih tinggi daripada JDT.
Baginda turut menjelaskan, dirinya tiada masalah dengan Selangor namun mengakui mempunyai masalah dengan beberapa individu yang berada dalam pengurusan kelab Red Giants.
“Selangor punya tahap lebih tinggi daripada saya, jadi saya ambil tahap yang seakan macam saya juga. Saya tidak boleh melawan dengan orang lama dalam industri bola sepak, saya kena tahu saya ini adalah pendatang baharu.
“Saya tidak mempunyai masalah dengan Selangor, saya tiada masalah dengan Raja Muda Selangor (Tengku Amir Shah Sultan Sharafuddin Idris Shah), dia pun tahu, dia pun sentiasa berhubung dengan saya, kami rapat, tiada masalah antara satu sama lain.
“Tapi mungkin dengan dua atau tiga individu yang berada dalam pengurusan. Cara mereka mengurus mungkin pada pandangan saya ada salah sedikit, itu saja tapi itu peribadi antara saya dengan dia, bukan antara saya dengan Selangor dan penyokong Selangor,” kata Tunku Ismail.
Dalam pada itu, JDT akan berbincang terlebih dulu dengan Persatuan Bola Sepak Pahang(PBNP) sebelum mendapatkan khidmat tenaga Mohamadou Sumareh.
“Jika Sumareh nak balik saya kena berbual dengan Pahang dulu,” ujarnya.
Artikel penuh : Utusan Malaysia