Kelab Bolasepak Johor Darul Ta’zim (JDT) masih tetap menghormati bekas majikan Mohamadou Sumareh, Persatuan Bolasepak Negeri Pahang (PBNP) sekiranya mahu mendapatkan khidmatnya.

Pemilik JDT, Tunku Ismail Sultan Ibrahim menjelaskan baginda akan berbincang dengan Tengku Abdul Rahman Sultan Ahmad Shah, Presiden PBNP jika Sumareh mahu kembali ke Liga Malaysia (Liga M) dan beraksi untuk skuad Harimau Selatan. Sumareh kini beraksi di Liga Thailand bersama Police Tero FC 

“Jika Sumareh nak balik saya kena berbual dengan Pahang dulu. Saya pun tadi dah tanya Tengku Muda Pahang,” kata Tunku Ismail dalam rancangan bola@mamak semalam.

“Kalau dia bersetuju saya akan teruskan. Jika dia tak, saya tak boleh buat apa-apa. Saya minta hormat, minta restu dari dia kalau boleh atau tidak.

“Jadi, sayap kanan kemungkinan besar boleh jadi Safawi Rasid, Sumareh, Arif Aiman. Bahagian kiri adalah Akhyar Rashid, Gonzalo Cabrera dan Ramadhan Saifullah.”

Selain itu, Tunku Ismail, Tunku Mahkota Johor (TMJ) mendedahkan bekas bintang muda FELDA United, Daniel Amier Norhisham akan menyertai JDT musim depan. JDT juga turut berhubung dengan pemain berdarah kacukan, Isaac Angking.

“Saya rasa Daniel Amir seorang bakat muda yang saya sangat teruja untuk tengok dia dalam JDT. Sudah pasti semua pemain perlukan masa, ada yang perlukan masa lebih dari yang lain.

“Kita juga ada Isaac Angking yang berhubung dengan kita, tengah tengok bagaimana kita boleh serap dia sebab JDT ada ramai pemain. Jadi boleh ke tidak kita masukkan dia dalam sistem kita.

TMJ akui sedang berusaha mengikat pemain import dari Argentina.

“Kita turut ada seorang penyerang berusia 28 tahun dari Argentina. Nama saya tidak boleh nak dedahkan sebab kertas kerja tengah dalam proses,” kata baginda.

Kredit : Berita Harian