Sejak pengumuman Kelab Bola Sepak Johor Darul Ta’zim (JDT beberapa hari lepas untuk mengadakan sidang media khas pada hari ini, peminat dan penyokong berasa teruja menunggu apakah berita yang akan menarik perhatian bola sepak negara.
Sidang media tersebut telah pun selesai dan menjadikan hari ini hari yang bersejarah bagi kelab JDT setelah JDT dipilih sebagai rakan kongsi kepada UNICEF sekaligus menjadi kelab yang pertama Asia Tenggara bekerjasama dengan sebuah organisasi terkemuka dunia itu.
Perkembangan itu diumumkan sendiri oleh pemilik JDT, DYAM Mejar Jeneral Tunku Ismail Ibni Sultan Ibrahim, Tunku Mahkota Johor (TMJ) dalam sidang media sebentar tadi.
UNICEF adalah sebuah organisasi yang beribu pejabat di New York merupakan sebuah badan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) yang berfungsi memberi bantuan kemanusiaan dan perkembangan kepada kanak-kanak di seluruh dunia.
JDT akan menjalinkan kerjasama dengan UNICEF selama satu tahun dan kini sebaris dengan kelab gergasi dunia seperti Barcelona, Manchester United dan Olympiacos yang pernah dipilih oleh organisasi tersebut.
Berkemungkinan logo UNICEF juga akan dipamerkan pada jersi baharu JDT untuk musim 2021 dan ianya pasti dinanti-nantikan oleh para penyokong setia pasukan itu.
Sudah tentu ianya menjadi tarikan penyokong untuk membeli jersi tersebut sekiranya ada diletak logo UNICEF itu.
Menurut TMJ, kerjasama ini tidak semestinya melibatkan wang ringgit sahaja tetapi sekaligus akan memupuk kesedaran di antara masyarakat seluruh Malaysia dan menaikkan nama JDT di seluruh dunia.
“Mentaliti saya dan sesetengah pihak dalam negara berbeza. Sebagai contoh, semua kelab boleh menandatangani pemain bola sepak tetapi bukan semua kelab mendapat pengiktirafan daripada jenama-jenama terkemuka antarabangsa.
“Kejayaan komersial, jenama dan aset kelab adalah yang pertama. Jikalau kelab tiada duit, kelab tidak dapat menandatangani pemain dan tanpa pemain yang bagus, pasukan tidak dapat mencapai kejayaan di dalam padang.
“‘Brand awarenes’ juga bermaksud pengiktirafan bahawa peranan JDT adalah lebih besar daripada hanya sebuah kelab bola sepak,” katanya.
Selain itu, TMJ dijangka akan mengumumkan nama pemain baharu untuk musim depan dan musim 2022 malam ini. Sebelum ini dalam pengumuman awal, JDT akan menandatangani empat muka baharu untuk musim 2021.
Foto : The Photoshooterz