Sultan Ibrahim Sultan Iskandar, Sultan Johor adalah merupakan yang pertama di kalangan Raja-raja Melayu yang mempunyai satu juta pengikut dalam Facebook rasmi Baginda. Angka berkenaan telah dicapai pada pada jam 8.37 pagi semalam, Isnin.
“Hari ini laman Facebook saya sudah mencecah satu juta pengikut. Terima kasih semua” titah DYMM Sultan Johor.
Laman Facebook baginda, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar turut mempunyai 898,159 sukaan (likes) pada ketika ini.
Daripada jumlah itu, 321,118 pengikut yang datangnya dari negeri Johor, diikuti oleh Kuala Lumpur (103,745) dan Singapura (46,585).
Facebook Sultan Johor itu telah mula beroperasi sejak 31 Mei 2015 turut menunjukkan majoriti pengikut baginda adalah golongan lelaki sebanyak 59 peratus, yang kebanyakannya dalam kategori umur 25 hingga 34 tahun (40 peratus).
Laman Facebook Baginda memaparkan pelbagai pengisian yang berguna serta bermanfaat di samping maklumat-maklumat tentang aktiviti serta program terkini Baginda yang bertujuan untuk memaklumkan dan mendidik rakyat akan peranan baginda sebagai Sultan Johor.
Kebanyakan pengisian yang dikongsikan adalah dalam bentuk berita, gambar serta video. Selain daripada itu, Baginda juga mempunyai ikutan yang ramai di Instagram serta YouTube.
Populariti Sultan Johor meningkat setiap masa melalui hasil perkongsian Baginda mengenai perihal rasmi dan juga perkongsian istimewa hobi-hobi Baginda seperti memasak, bersukan dan permotoran.
Halaman itu bukan sahaja menyiarkan pelbagai aktiviti Baginda serta sumbangan mengenai Sultan Ibrahim dan keluarga Diraja Johor, malah ianya memberi peluang kepada rakyat mengadu serta menyampaikan pandangan atau idea mereka.
DYMM Sultan Johor sememangnya amat dekat dihati rakyat, malah Baginda juga sentiasa melawat pelbagai kawasan penempatan diseluruh Johor, di mana Kembara Mahkota Johor merupakan acara tahunan yang sentiasa dinanti-nantikan oleh rakyat.
Sumber : Sinar Harian
Kredit Foto : Facebook Sultan Ibrahim Sultan Iskandar