Johor Darul Ta’zim (JDT), juara bertahan Liga Super, sekali lagi terus mengorak langkah dalam memperkasakan cabaran pasukan berkenaan apabila bakal menandatangani empat muka baharu dalam mengharungi saingan Liga Malaysia
Pemilik JDT, Tunku Ismail Sultan Ibrahim memaklumkan kelab JDT bakal membuat pengumuman khas berhubung kemasukan empat pemain berkenaan, dalam satu sidang media khas pada hari Khamis ini. Baginda tidak mendedahkan nama keempat-empat pemain berkenaan.
Kolaborasi Dengan Jenama Besar
Melalui ‘teaser video’ yang disiarkan dalam laman sosial rasmi Johor Southern Tigers, baginda turut bertitah bahawa JDT bakal memeterai perjanjian dengan sebuah jenama antarabangsa yang terkemuka di dunia dan pengumuman berhubung perkara berkenaan juga akan dimaklumkan pada sidang media khas itu.
Ia merupakan satu pengiktirafan yang amat besar dan bersejarah untuk kelab dan negara.
Pemain Baharu Musim Hadapan
“Kami telah menandatangani empat orang pemain untuk musim 2021 serta empat lagi pemain (dua naturalisasi dan satu pemain import) untuk musim 2022,” titah Tunku Ismail yang juga Pemangku Raja Johor, menerusi hantaran terbaharu dalam laman Facebook JDT, Johor Southern Tigers malam ini.
Tunku Ismail turut mendedahkan skuad Harimau Selatan telah menandatangani empat muka baharu bagi membantu JDT mengharungi saingan Liga Malaysia pada musim hadapan.
Baginda sebelum ini mengesahkan JDT berjaya mendapatkan khidmat pemain tengah negara Muhammad Daniel Amier Norhisham, 23 tahun, adalah antara beberapa muka baharu yang sah menyertai JDT pada musim hadapan.
JDT akan mempertahankan kejuaraan Liga Super musim hadapan setelah menjuarainya selama tujuh tahun berturut-turut sejak 2014.
Siapakah pemain baharu tersebut dan syarikat atau jenama apa yang akan diumumkan nanti ? Sama-sama kita nantikan pengumuman dan kejutan pada hari Khamis ini.