Semua peminat sentiasa rasa gelisah bila agaknya larangan masuk ke stadium akan ditarik balik. Saingan Liga Malaysia (Liga-M) yang nampak tidak menentu semenjak COVID-19 melanda sukar untuk dijangka bila ianya akan berakhir.

Namun, entri yang dimuat naik oleh Tunku Mahkota Johor (TMJ), Tunku Ismail Sultan Ibrahim, melalui Instagram Story pada lewat malam tadi mungkin dapat meredakan sedikit kekecewaan dan penantian peminat.

Pemilik JDT, TMJ itu memberi bayangan liga bola sepak tempatan akan kembali dengan norma baharu dalam masa terdekat ini.

Menerusi entri itu, TMJ berkata bola sepak negara akan kembali dengan 10 peratus kapasiti penyokong dibenarkan ke dalam stadium.

“Good news. SOP. Progress. Coming soon. Bola sepak akan kembali. Kali ini dengan penyokong. 10 peratus dari kapasiti stadium,” tulisnya.

Musim bola sepak di Malaysia berakhir secara rasminya pada November lepas, selepas Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) mengesahkan saingan Piala Malaysia yang sedang berlangsung ketika itu, dibatalkan terus serta-merta. Ia susulan daripada Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) di beberapa negeri.

JDT muncul sebagai juara Liga Super, manakala Pulau Pinang pula juara Liga Perdana. Musim hadapan, Pulau Pinang akan dapat kita lihat beraksi dalam saingan Liga Super.