DYAM Mejar Jeneral Tunku Ismail Ibni Sultan Ibrahim, Tunku Mahkota Johor , pemilik kelab bola sepak Johor Darul Ta’zim (JDT) sebentar tadi menerima hadiah jersi baharu Harimau Malaya yang diserahkan sendiri oleh Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Datuk Haji Hamidin Haji Mohd Amin.
Datuk Haji Hamidin dilihat menyampaikan jersi ‘home’ dan ‘away’ skuad Harimau Malaya yang tertera ‘Johor 02’ di belakang jersi itu kepada pemilik pasukan Johor Darul Ta’zim (JDT) itu.
Hadiah pemberian jersi tersebut juga adalah sebagai tanda penghargaan kepada Tunku Ismail yang merupakan mantan Presiden FAM. Sehingga kini, baginda masih berterusan memberikan sokongan terhadap bola sepak negara.
Dalam pertemuan itu juga, Datuk Haji Hamidin turut berbincang dan bertukar pandangan bersama Tunku Ismail mengenai persediaan dan persiapan pasukan kebangsaan bagi menyambung saingan Kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 pada Mac depan serta perjalanan saingan Liga Malaysia musim 2021.
Turut hadir dalam pertemuan tersebut ialah ketua jurulatih skuad Harimau Malaya Tan Cheng Hoe, Timbalan Presiden FAM Datuk Mohd Yusoff Mahadi, Setiausaha Agung FAM Stuart Ramalingam dan Ketua Unit Pembangunan Belia FAM Datuk Ong Kim Swee.
Jersi pasukoan kebangsaan untuk tempoh 2020-2022 itu telah dilancarkan secara rasmi pada Jumaat lalu.
Foto : FAM