Muhammad Syafiq Ahmad, 25, penyerang muda Johor Darul Ta’zim (JDT), cedera ringan selepas kenderaan jenis Toyota Vellfire berwarna hitam dipercayai dipandunya terlibat dalam kemalangan, awal pagi tadi.
Dalam kemalangan di Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) Sungai Bakap itu turut mengorbankan bayi lelakinya yang berusia 22 hari serta wanita warga tempatan Zainab Wahab, 45, dan warga Indonesia Titik Sukamti, 30-an.
Dalam kejadian kira-kira jam 5.30 pagi itu, Muhammad Syafiq dan seorang lagi anak perempuannya, Aaira Nur Saffiyya, 2, cedera ringan namun isteri beliau, Nur Amalina Nur Ain, 25, dilaporkan cedera parah.
Abd Syukur @ Mohd Ilhami Musa, Pegawai Operasi, Pegawai Bomba Kanan II, berkata, bomba menerima panggilan kecemasan pada pukul 5.36 pagi dan tiba di lokasi kira-kira 10 minit kemudian.
Menurutnya, terdapat enam mangsa iaitu tiga dalam keadaan selamat manakala tiga lagi tersepit di dalam kenderaan itu.
“Ketika tiba di lokasi, kami mendapati sebuah kereta pelbagai guna jenis Toyota Vellfire berwarna hitam remuk teruk dipercayai terbabas sendiri dan terus melanggar pembahagi jalan.
“Pasukan bomba yang lengkap berpakaian perlindungan peribadi (PPE) telah mengeluarkan mangsa yang tersepit menggunakan peralatan khas. Mangsa yang tersepit berjaya dibawa keluar pada jam 6.10 pagi,” kata Abd Syukur.
Beliau berkata, tiga mangsa disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan yang tiba di tempat kejadian.
“Mayat diserahkan kepada polis untuk tindakan selanjutnya.
“Operasi melibatkan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Sungai Bakap. Ia tamat kira-kira jam 6.12 pagi.
Sementara itu Tunku Mahkota Johor (TMJ), Tunku Ismail Ibrahim mengucapkan salam takziah kepada Syafiq Ahmad.
Tunku Ismail yang juga pemilik JDT memuat naik ucapan berkenaan di akaun Facebook rasmi baginda yang memaparkan gambar jersi Syafiq bernombor 28 diiringi kata ‘Kami Sentiasa Bersamamu, Syafiq’.
Tunku Ismail turut merakamkan salam takziah kepada pemain berkenaan.
Sementara itu juga, DYAM Tunku Ismail juga telah bertitah untuk bendera JDT di Stadium Sultan Ibrahim diturunkan separuh tiang, stadium diterangi dengan lampu putih dan mesej takziah dipaparkan di skrin besar sebagai tanda penghormatan kepada Syafiq sekeluarga. Upacara Tahlil juga akan diadakan selama tiga hari.
Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) turut menghulurkan salam takziah kepada pemain bola sepak kebangsaan itu.
“Semoga Allah mengampuni dosa dan mencucuri rahmat ke atas roh mereka serta meringankan musibah Syafiq seisi keluarga. Al-Fatihah.”
Sama-sama kita sedekah Al-Fatihah kepada arwah.
Sumber : Sinar Harian