Bekas kapten Johor Darul Ta’zim (JDT) dan kapten Harimau Malaya, Safiq Rahim sekarang ini dalam proses untuk membeli sebuah pasukan. Pasukan itu menurut sumber, bakal bersaing dalam Liga M3 musim hadapan.
Safiq menjelaskan bahawa, proses pemilikan boleh dikatakan hampir selesai namun masih ada beberapa perkara yang belum dimuktamatkan.
“Ya…saya bercadang membeli pasukan untuk bermain di Liga M3. Proses pemilikan boleh dikatakan lebih daripada 50 peratus. Kita lihat macam mana nanti.’ kata Safiq.
Sumber tidak menyebut sama ada kelab itu sedang bersaing dalam Liga M3 atau baru ingin bersaing.
Liga M3 Malaysia tidak dijalankan langsung pada musim ini kerana pandemik Covid-19. Pasukan teratas liga melayakkan diri ke Liga Perdana. Manakala pasukan tangga terbawah Liga Perdana pula akan disingkirkan ke Liga M3.
Sebelum bermain untuk Melaka United untuk dua musim, Safiq Rahim banyak menyumbang tenaga dan kejayaan dengan JDT. Safiq berkongsi trofi bersama JDT sejak mula penjenamaan 2013 sehingga 2018. Kejayaan tertinggi beliau adalah menjulang trofi Piala AFC pada tahun 2015 selepas memenangi perlawanan akhir menentang Istiklol FC di Dushanbe.
Beliau juga telah menyumbang sebanyak 57 gol selama enam tahun bersama JDT. Penjaring tempatan terbanyak JDT setakat ini.
Perkembangan terkini pemilikan kelab baharu Safiq Rahim ini akan dikemaskini dari masa ke semasa.
Sumber : Utusan Malaysia