Selangor FC, yang baru diberi nama baru, melaungkan keazaman untuk merampas trofi Liga Super pada musim hadapan daripada Johor Darul Ta’zim (JDT) menjelang saingan Liga Malaysia (Liga-M) yang dijadualkan membuka tirainya pada penghujung Februari depan.
Dr Johan Kamal Hamidon, Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Selangor FC, berkata, target itu sememangnya selaras dengan cabaran yang dilontarkan kepada skuad The Red Giants pada setiap musim Liga-M.
JDT Terlalu Gah
Menurut Dr Johan Kamal, Selangor FC yang kini dibimbing oleh Karsten Neitzel, pengendali baharu kelahiran Jerman, memasang impian menyekat dominasi JDT yang terlalu gah menjuarai Liga Super selama tujuh musim berturut-turut.
“Sudah tentu JDT sekali lagi diletakkan sebagai pasukan pilihan. Setelah menjulang tujuh kejuaraan Liga Super yang dimenangi sebelum ini, tidak mustahil mereka meletakkan sasaran untuk muncul juara kali kelapan.
“Buat Selangor FC, kami akan terus cuba memberikan saingan kepada JDT dalam misi memburu kejuaraan liga. Kami akan memperkemaskan semula skuad sedia ada dalam tempoh beberapa minggu akan datang ini.
Dr Johan kamal berkata lagi, “Sasaran kami tetap sama seperti musim-musim lalu yang mana kami mahu sekali lagi muncul juara Liga Super. Kami akan cuba berusaha sebaik mungkin untuk merealisasikan sasaran itu.
Untuk rekod, Selangor muncul juara Liga Super kali terakhir adalah pada musim 2010. Hanya dua psukan yang pernah menjuarai Liga Super berturut-turut sebelum JDT.
Selangor muncul sebagai pasukan kedua menjuarai Liga Super dalam tempoh masa dua musim berturut-turut selepas Kedah melakukannya pada edisi 2007 dan 2008.
Masih Dalam Rundingan Lagi
Sementara itu, Johan berkata, Selangor FC masih dalam proses rundingan untuk mencari dan membawa masuk pemain tempatan serta import baharu bagi memperkuatkan cabaran The Red Giants pada musim depan.
Pautan disyorkan :
Perlawanan JDT Paling Ramai Penonton Dalam Talian (1.38 Juta) Ketika Menentang Selangor
JDT Buru Diego Rolan, Pemain Kebangsaan Uruguay
Selangor Mahu Ikut Jejak JDT. Akan Berwajah Baharu – 2019
“Setakat ini, masih belum ada kata putus dibuat mengenai pemain-pemain baharu Selangor FC. Insya-ALLAH, sampai masanya nanti apabila sudah putus, kami akan membuat pengumuman secara rasmi,” ujarnya.
Sementara itu, Michael Feichtenbeiner, Pengarah Teknikal Selangor FC, memberitahu, kehadiran lima pemain muda Selangor 2 mampu menjelmakan aura baharu kepada skuad The Red Giants.
“Pemain muda itu bakal bergandingan bersama pemain senior dan pada masa sama, ia dapat memperbaiki corak permainan mereka. Dengan adanya gabungan pemain baharu ini, Selangor akan terdiri daripada gabungan pemain berpengalaman dan muda.
“Saya yakin bahawa Selangor mempunyai pemain yang selaras dengan gaya bola sepak kami,” katanya.
Michael Feichtenbeiner, Pengarah Teknikal Selangor FC dan juga Karsten Neitzel, pengendali baharu itu akan bergabung membina satu skuad yang kuat dan mampu memberi cabaran pada musim hadapan.
Sebagai rekod, JDT membenam Selangor musim ini dengan jaringan tang besar 6-1 pada 19 September lepas di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri.
Gol-gol JDT dijaringkan oleh Safawi (2), Ramadhan (2), Diogo Santo dan Gonzalo Cabrera. Manakala gol saguhati diperoleh Selangor hasil jaringan Segovia pada minit ke-81.
Selangor juga belum pernah menang dengan JDT dalam saingan Liga Super sejak 2018 sama ada di tempat sendiri atau di tempat lawan.
Foto : Yhe Photoshooterz
Sumber : Sinar Sukan