Ketua Jurulatih Kelab Bolasepak Johor Darul Ta’zim (JDT), Benjamin Mora menerima pengiktirafan daripada kerajaan Mexico atas pencapaiannya sepanjang membimbing Johor Darul Ta’zim (JDT) dan membawa imej yang baik buat negaranya.
Anugerah Kehormat Mexico (Distinguished Mexican Awards) yang diterimanya itu menyaksikan beliau menjadi rakyat Mexico pertama menerima pengiktirafan berkenaan di Malaysia.
Menerusi satu kenyataan dalam laman Facebook rasmi JDT, anugerah itu disampaikan melalui Kementerian Hubungan Luar Mexico menerusi Institute of Mexicans Abroad dan Kedutaan Mexico sebagai tanda pengiktirafan kepada sumbangan cemerlang rakyat Mexico yang tinggal di luar negara.
Upacara penyerahan anugerah itu turut dihadiri Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim dan Duta Besar Mexico ke Malaysia, Carlos Felix Corona, para pegawai JDT serta keluarga dan rakan-rakan Benjamin Mora.
Mora menyertai JDT pada tahun 2016 sebagai Ketua Jurulatih JDT II sebelum dinaikkan pangkat ke skuad senior.
Sepanjang kariernya bersama skuad Harimau Selatan, beliau telah memenangi tiga kejuaraan Liga Super dan tiga piala lain. Pencapaian terkini Benjamin Mora adalah membimbing pasukan JDT menjuarai Liga Super Malaysia musim ini tujuh tahun berturut-turut. Trofi itu juga merupakan trofi ke 16 JDT sejak penjenamaan baru pada tahun 2013.
Photo : The Photoshooterz