Tan Cheng Hoe, ketua jurulatih skuad kebangsaan, berazam untuk terus mencurahkan ideologi bola sepak moden untuk pasukan Harimau Malaya apabila kontraknya dilanjutkan oleh Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) sehingga penghujung 2022.

Cheng Hoe berkata, keputusan FAM untuk menyambung kontraknya bagi tempoh dua tahun lagi adalah satu perkara yang sangat positif, sekali gus ia menaikkan motivasi beliau dalam usaha mencapai petunjuk prestasi utama (KPI) yang telah ditetapkan.

Cheng Hoe Terima Tawaran

“Saya sudah mendapat surat tawaran daripada FAM yang bersetuju untuk menyambung kontrak saya yang sepatutnya berakhir pada penghujung bulan ini dengan lanjutan tempoh selama dua tahun.

“Keputusan itu memberi kelegaan kepada saya kerana sememangnya masih banyak tugasan yang belum saya selesaikan selepas semua aktiviti bola sepak antarabangsa melibatkan skuad kebangsaan ditangguhkan.

Pautan disyorkan :
* Cabrera Dan Tuck : Cheng Hoe Ambil Contoh Zlatan Ibrahimovic Dan Cristiano Ronaldo
* Usah Risau Prestasi Safawi. Perkembangan Dia Sangat Banyak – Cheng Hoe.

“Apa yang pasti, tahun depan sudah tentu fokus utama akan diberikan kepada kempen kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 dan juga Piala AFF Suzuki tahun depan,” kata Cheng Hoe kepada Kosmo semalam.

Sementara itu, Setiusaha Agung FAM, Stuart Ramalingam mengesahkan badan induk bola sepak negara itu bersepakat untuk menyambung kontrak Cheng Hoe kerana beliau telah menunjukkan prestasi yang bagus sepanjang tiga tahun membimbing skuad Harimau Malaya.

Cheng Hoe Jalankan Tugas Dengan Baik

“Kami sangat gembira apabila dapat menyambung kontrak Cheng Hoe untuk tempoh dua tahun lagi. Dia telah menjalankan tugas dengan baik sepanjang menjalankan tugas ketua jurulatih dan harap momentum dapat diteruskan,” katanya.

Sebagai rekod, Cheng Hoe telah dinaikkan pangkat menjadi ketua jurulatih skuad Harimau Malaya bermula tahun 2018 susulan keputusan pengendali import, Nelo Vingada mengambil keputusan untuk meletak jawatan pada penghujung 2017.

Sumber : Kosmo